suria

Fahrin persoal profesionalisme Linda

SEHINGGA sidang media Sehati Berdansa musim kedua baru-baru ini, tidak habis lagi isu pertelagahan pengacaranya Linda Onn dan Fahrin Ahmad diperkatakan sehingga mereka berdua seakan-akan tidak selesa dan menduga soalan yang bakal ditanya.

Namun, atas dasar profesionalisme, kedua-duanya menjawab persoalan yang ditanya tetapi dalam nada mahu mengenakan antara satu sama lain.

Ketika bertembung di pentas pengacaraan, kedua-duanya masih mampu menyebut nama antara satu sama lain dan boleh memandang muka sekali sekala.

Sebaliknya, mata yang memandang dapat membaca yang diri masing-masing seakan-akan sudah tidak serasi seperti dulu sebagaimana mereka mengacarakan Sehati Berdansa musim pertama.

Apabila ditanya tentang bagaimanakah mereka akan bekerja untuk program realiti tarian tersebut dalam masa 10 minggu berturut-turut, masing-masing memberikan jawapan tersendiri yang kadangkala saling 'membaling buah paku keras' antara satu sama lain.

Kata Linda, dia melakukan kerjanya atas dasar dibayar gaji dan demi penonton lantas menolak hal peribadi ke tepi.

"Saya tak boleh buat sesuka hati disebabkan benda yang disensasikan oleh orang lain. Saya datang untuk bekerja dan seperti yang orang kata, hal rumah tangga jangan dibawa ke luar rumah," begitulah ungkapan penyampai radio Era ini yang lebih profesional dalam soal kerja.

Di sebalik keprofesionalannya, ada pihak sebelah sana yang tidak berpuas hati dan seolah-olah mempertikaikan prinsip yang disebut-sebut Linda itu.

"Saya kecewa dengan Linda kerana saya sering profesional dari segi pernyataan dan perbuatan sama ada di depan atau belakang.

"Saya lebih senang berdiam diri dan bercakap apabila perlu untuk kebaikan. Dalam masa yang sama, saya juga membuat pemantauan," ulas jejaka berusia 29 tahun ini.

Sebelum ini, banyak hal yang tidak sedap didengarinya sehinggalah ke program yang diacarakan mereka berdua bersama Awal Ashaari ini.

"Merujuk kepada Sehati Berdansa, masalah antara kami dah beberapa kali keluar.

"Pada mulanya saya dengar orang lain akan bergandingan dengan dia dalam program musim kedua ini.

"Sepatutnya, pihak Astro yang boleh keluarkan kenyataan ini tetapi tidak. Saya tak kisah kalau menjadi pilihan terbaik di tempat ke-10 sekalipun.

"Kalau dia profesional, dia perlu bersedia untuk bekerja dengan sesiapa pun," luah Fahrin.

Isu kemenyan dikaitkan dengan Fahrin

Sebelum ini, Linda pernah menceritakan tentang dia terbau kemenyan apabila menekan tempat pembakar rokok dalam kereta BMW miliknya melalui laman blognya di Erafm.com.my bertajuk "Benda 'asing' dalam kereta Linda".

Bertanya lanjut mengenai hal itu, kata Linda, dia telah membersihkan benda itu melalui panduan seorang ustaz yang lebih arif tentang hal itu.

"Terima kasih kepada Allah sebab saya dah bersihkan benda tu. Ustaz ada mengajar beberapa perkara termasuklah menyuruh saya mengikis benda tu sehingga hilang.

"Dia juga ada menyarankan saya mengamalkan ayat pelindung diri.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik," jelas Linda mengenai kehidupannya kini.

Dia juga belum mengetahui siapakah pihak yang berselindung di sebalik angkara ini.

Ada ura-ura mengatakan, kemungkinan Fahrin adalah orang yang dimaksudkan. Itupun berdasarkan apa yang ditulis di blog Linda

Bertanya kepada Linda adakah dia menjadikan blog itu sebagai landasan menghentam sesiapa sahaja yang tidak disukainya, Linda menjawab dengan alasan tersendiri.

"Saya buat sesuatu entri itu setelah mendapat kebenaran daripada bos. Saya juga menulis tentang apa yang saya lakukan, ke mana saya pergi dan cerita sebalik tabir saya untuk dikongsi bersama peminat," jelas Linda.

Apabila diminta Fahrin memberikan komennya tentang kebenaran isu kemenyan itu, dia berkata Linda tahu semuanya dan dirinya tidak perlu memberikan penjelasan tentang hal tersebut.

"Selama ini saya diam dan orang lain yang bangkitkan isu ini. Saya tahu melalui apa yang orang lain cakap tentang apa yang ditulis, saya dapat rasa yang dia menuduh saya melakukan benda itu.

"Dia cakap dirinya profesional tetapi sebaliknya tidak. Saya cakap bila perlu dan terlalu kecewa dengan kenyataannya dalam akhbar sejak dari awal. Tak kira isu kemenyan, sehati berdarah...," kata Duta Celcom ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain