suria

Hibah Amanah Urus Simpanan Pendeposit TH

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan pendaftaran sebanyak 50,000 pada tahun pertama bagi produk terbaharunya, Hibah Amanah, yang dilancarkan di ibu pejabat TH di sini, Khamis.

Menurut kenyataan TH, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha TH melancarkan produk tersebut, khusus kepada lebih sembilan juta pendepositnya di negara ini, amat dialu-alukan kerana dapat membantu mengurangkan masalah wang simpanan tidak dituntut.

Beliau berkata, selain itu ia memberi peluang kepada penyimpan untuk mengurus kewangan mereka secara lebih baik dan mengelakkan perebutan harta apabila berlaku kematian.

Menurut TH, pemberian harta Hibah Amanah daripada akaun simpanan TH oleh pendeposit semasa hidupnya kepada penerima Hibah Amanah adalah atas dasar kasih sayang, sukarela, tanpa paksaan dan tanpa mengenakan sebarang balasan.

Harta Hibah Amanah adalah wang akaun TH dengan akad pada nilaian RM1,000 ke atas.

Produk unik ini dilihat memberi kelebihan kepada para pendeposit bersifat sejagat kerana tidak mengira bangsa dan agama, menurut TH.

Di samping itu, produk Hibah Amanah, yang bersifat terancang ini juga memberi peluang kepada para pendeposit atau saudara baru (mualaf) yang tiada waris beragama Islam seperti yang disyaratkan dalam konsep penamaan terdahulu.

Pemberi Hibah Amanah masih boleh menikmati faedah, membuat urus niaga dan mendapat semua manfaat daripada harta Hibah Amanah yang telah dihibahkan tersebut selama mana pemberi Hibah Amanah masih hidup.

Permohonan Hibah Amanah TH ini boleh dilakukan di mana-mana pejabat cawangan TH di seluruh Malaysia dan maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi laman web TH, www.tabunghaji.gov.my.-- Bernama 



TH, Hibah Amanah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain