suria

Sangka ‘langit rosak’, penduduk Jerantut terkejut nampak kilat merah tanpa guruh... Netizen terpaling berilmu gelar wanita pengikut dajal

Lenda melihat fenomena aneh itu ketika dia balik ke kampung halamannya di Jerantut pada 15 September lalu.

LANGIT rosak ke malam ni?

Demikian kapsyen yang ditulis seorang wanita selepas dia memuat naik video fenomena langit aneh yang berlaku di kampungnya di Jerantut, Pahang pada 15 September lalu.

Menurut Lenda Mohamad, 31, dia terkejut melihat kilat tanpa bunyi guruh yang berwarna merah, malah cahaya itu juga bergerak secara horizontal sehingga menerangi langit malam.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam, ketika itu azan Isyak berkumandang. Saya keluar rumah untuk buang sampah. Saya perasan langit lip lap lip lap. Biasanya kilat, cahayanya ke bawah. Tapi saya nampak kilat berjalan... horizontal dari kiri ke kanan, warnanya merah.

"Terus saya panggil adik untuk ambilkan telefon. Masa telefon sampai, cahaya itu dah tak ada. Jadi saya tak sempat rakam. Tapi saya rasa kagum dapat saksikan cahaya kilat berwarna merah dalam masa kira-kira limat saat," ujarnya kepada mStar.

Tidak lama selepas kejadian cahaya kilat berwarna merah tanpa bunyi guruh, Lenda berkata dia turut menyaksikan keadaan langit malam bertukar terang yang mana ia sempat dirakam menggunakan telefon miliknya.

Ada yang kata saya berfikiran kolot dan tak percaya kekuasaan Tuhan.

LENDA MOHAMAD

"Yang menakutkan adalah langit jadi terang benderang. Bukan keseluruhan langit, tapi hanya sebahagian yang menjadi terang. Saya terdiam sekejap. Yang ini saya sempat rakam.

"Untuk kepastian, video itu saya masukkan dalam aplikasi Capcut. Dalam Capcut, saya buat slowmotion dan saya boleh tengok dengan jelas cahaya terang yang menerangi sebahagian langit.

"Ia sekejap saja tapi berlaku secara berkala," ujar Lenda yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah kilang pengeluaran produk bayi di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Misteri ribuan ikan naik ke darat, penduduk gempar serbu kutip

ARTIKEL BERKAITAN: Cahaya misteri muncul tiba-tiba, penduduk kecoh dakwaan UFO terbang dalam kawasan kampung

Lenda yang menetap di ibu negara turut berkongsi video kejadian itu menerusi aplikasi TikTok sehingga ia menerima lebih 100,000 tontonan.

Malah, Lenda turut turut dihujani pelbagai komen termasuklah yang melabelkannya sebagai pengikut dajal selepas ruangan komen TikTok miliknya dihujani dengan teori konspirasi.

"Saya kongsi di TikTok. Ada orang komen cakap saya pengikut dajal. Ada juga yang kata saya berfikiran kolot dan tak percaya kekuasaan Tuhan. Saya tak tahu tentang fenomena 'kilat gajah' apa semua. Ia memang kali pertama saya tengok cahaya macam ni.

lenda2

Antara komen netizen tentang kejadian itu.

"Di sebalik kecaman, ada juga yang kongsi ilmu. Mereka terangkan tentang kejadian 'kilat gajah'. Kemudian saya pun buat carian sendiri. Kalau ada sesiapa boleh terangkan tentang kejadian ini, saya terima saja," ujarnya.

Tambah Lenda, dia juga berharap agar semua pengguna media sosial menjaga tutur kata mereka, apatah lagi ketika berbicara dengan orang yang lebih berusia.

"Cuma saya terkilan dengan komen biadab. Ada seorang makcik komen, dia kata kembalilah kepada Allah kerana kejadian itu merupakan teknologi dajal. Saya tengok ramai anak muda reply kurang ajar.

"Saya harap orang ramai dapat hormati orang lebih tua. Janganlah guna perkataan yang menggores hati orang lebih tua," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain