suria

Bikin lampu brek hitam, sampai nampak ’cacat’ bahayakan orang lain! Pihak berkuasa diminta saman semua

Beberapa kereta membuat modifikasi pada bahagian belakang kereta.

FUNGSI lampu kenderaan termasuklah untuk menunjukkan arah (signal) dan brek amat penting di jalan raya.

Ia merupakan satu bentuk 'komunikasi' pemandu dengan pengguna jalan raya yang lain tentang pergerakan yang bakal atau sedang dibuat.

'Mesej' yang disampaikan melalui lampu itu membolehkan kenderaan di sekeliling membuat persediaan sewajarnya seperti memperlahankan kenderaan untuk memberi laluan.

Ciapan asal di laman Twitter.

Namun, terdapat pemilik kenderaan yang membuat modifikasi pada bahagian kenderaannya sehingga menyukarkan pemandu lain untuk melihat lampu isyarat yang dinyalakan.

Melalui satu ciapan tular di laman Twitter, seorang netizen mendakwa ternampak sebuah kereta di lebuh raya yang menyembur cat hitam di bahagian belakang kenderaannya sehingga lampu breknya tidak kelihatan.

"Ni satu lagi isu. Kedai-kedai sekarang spray sampai gelap! Kawan saya nyaris nak 'cium' (berlanggar) sebab tak nampak lampu brek dia ni.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang lori disangka gila sebab main signal tengah jalan! Rupanya ada kod tersirat, nak bantu pemandu kereta guna ‘komunikasi lampu’

ARTIKEL BERKAITAN: Lampu isyarat merah lama? Mungkin sebab kereta tak berhenti atas sensor, tapi sistem ini tak ‘mesra’ motor, basikal

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tolong kerjasama dan tegur kedai dan pemilik kereta ni sekali.

'Nak modify kereta, jangan susahkan pengguna lain la," kata netizen itu dalam ciapannya.

Berdasarkan gambar yang disertakan netizen tersebut, dapat dilihat keseluruhan bahagian belakang kenderaan itu disaluti cat warna hitam termasuk lampu tanda arah, lampu undur belakang dan lampu brek.

Saman je kereta yang berbahaya ni! Termasuk juga kereta dan motosikal yang lampu brek belakang cacat

NETIZEN

Selain itu, seorang lagi netizen juga sempat menyebut bahawa kenderaan tersebut mempunyai kesan perlanggaran di bahagian belakangnya, berkemungkinan berpunca dari isu yang sama.

"Tu pun macam baru kena hentam kemek belakang," kata warga maya itu.

Beberapa warga maya lain juga menggariskan kesilapan lain yang sering dilakukan pengguna jalan raya sehingga boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada pemandu di sekeliling.

"Lampu 'albino' (warna putih) pun kena tengok juga bang. Lampu 'albino' tapi mentol tak tukar pun menyusahkan orang.

Kereta ini mempunyai lampu 'albino'.

"Tolong la ikut aturan. Mentol untuk brek warna merah dan mentol isyarat kiri atau kanan kena warna kuning. Jangan la bantai semua lampu nak warna putih. Yang boleh putih cuma lampu undur belakang.

"Sama kes dengan tukar warna lampu signal daripada kuning ke warna lain macam merah atau putih. Kadang tu tak jelas kereta depan bagi signal," ujar sebilangan warga maya.

Biasanya fenomena lampu 'albino' ini terjadi kerana kerosakan pada filamen mentol dan perlu ditukar dengan kadar segera.

Seorang netizen mengatakan ada juga lampu brek kereta diubahsuai menjadi terlampau terang sehingga menyebabkan silau kepada pemandu di belakang.

Lampu brek kereta ini menyilaukan pemandu di belakang.

"Yang ni pula nak suluh masa depan yang di belakang," kata warga maya itu berseloroh.

Rata-rata warga maya lain meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dalam hal ini kerana penggunaan lampu isyarat kenderaan yang tidak seragam boleh menyebabkan kemalangan.

"Saman je kereta yang berbahaya ni! Termasuk juga kereta dan motosikal yang lampu brek belakang cacat!

"Tolong ambil tindakan! Aku pun hampir nak sondol orang hari tu, kereta lampu belakang gelap macam ni la. Siang memang tak nampak, dah dekat baru nampak. Nasib la brek makan, dah la bawa keluarga.

"Tolong ambil tindakan juga dekat lampu brek kereta yang kelip-kelip macam lampu raya, sakit mata duduk belakang dia," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain