suria

Suami ‘mesra warga tua’, jaga mentua strok macam ibu sendiri... sikit pun tak merungut - “Kadang-kadang kesian tengok dia”

Mira syukur suaminya memahami dirinya yang perlu menjaga ibu sakit.

BAGAIMANA bentuk acuan, begitulah kuih yang akan terhasil.

Ungkapan itu sesuai bagi menggambarkan kisah dikongsi seorang usahawan, Nur Fatin Amira Abdul Razak, 30, yang memuat naik video di TikTok menunjukkan suaminya sedang menolak ibu mentua di atas kerusi roda ketika membuat rawatan di sebuah hospital di Selangor.

Apa yang dilakukan ternyata mengundang sebak dan menarik perhatian ramai kerana dia gigih menahan kerusi roda tersebut ketika turun ke tingkat bawah menggunakan escalator.

Lebih mesra disapa Mira, dia yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata suaminya, Muhammad Syaamil Sabaruddin, 30, yang dikenalinya sejak 2015 merupakan seorang yang sangat menghormati orang tua.

Syaamil sering menemani isterinya, Mira membawa ibu mentua ke hospital

Menurut Mira, sebelum berkahwin timbul kebimbangan jika Syaamil tidak boleh menerima dirinya kerana sibuk menjaga ibu berusia 58 tahun yang menghidap penyakit angin ahmar sejak tujuh tahun lalu.

"Mama Mira pertama kali kena strok pada 2016 sebab tak jaga makan tetapi dia sembuh... sampailah dua tahun lepas tu mama kena strok semula dan bertambah teruk.

"Waktu tu pula Mira umur 23 tahun, baru bekerja sebagai perunding kecantikan. Tapi terpaksa berhenti sebab nak jaga mama, dia memang tak boleh bergerak langsung. Cuma mata sahaja yang boleh gerak. Tapi Alhamdulillah sekarang dah banyak perubahan.

"Sebelum berkahwin dengan Syaamil, Mira pernah beritahu dia yang Mira kena jaga mama sakit jadi mungkin kasih sayang dan masa tu kena bahagi. Tapi Syaamil terima juga sebab dia cakap nak hidup sederhana sahaja dengan Mira," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Suami dapat perhatian di TikTok, ramai perempuan puji iras Saif Ali Khan... Wanita ini ‘cool’ je, puas hati kahwin lelaki penyayang

ARTIKEL BERKAITAN: Sayang menantu kalah anak sendiri! Wanita ini selesa tinggal sebumbung, hari-hari mentua masak bekal siap pakej hantar pergi kerja

Syaamil yang berasal dari Kelana Jaya, Selangor itu tidak pernah mengeluh penat dan sentiasa menemani Mira dan ibu mentuanya ke hospital sekitar Selangor untuk menjalani rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

Walaupun diduga sebegitu, tetapi anak kedua daripada tiga adik beradik ini bersyukur kerana dikurniakan dengan mentua yang sangat baik dan boleh menerima situasi yang dialaminya sekarang.

Selain pandai mengambil hati ibunya, Syaamil juga seorang yang pandai memasak makanan barat dan kampung walaupun menetap di bandar.

Jangan terlalu kejarkan wang ringgit dan utamakan orang lain selain ibu bapa sampaikan ibu bapa terabai.

MIRA

"Alhamdulillah mak ayah suami memang baik. Selalu tanya khabar mama setiap kali Mira balik ke rumah mereka. Kadang-kadang mereka suruh Mira bawa mama sekali kalau balik ke Kelana Jaya.

"Syaamil pernah cakap sebelum ni atuk dan neneknya tinggal sekali dengan keluarganya, jadi ini bukan benda baharu untuk dia sebab dah biasa tengok macam mana mak ayah jaga atuk nenek dulu.

"Kadang-kadang Mira kesian tengok dia sebab Syaamil jenis yang suka pergi melancong. Tapi sekarang dia sentiasa kena ada dengan saya sebab nak jaga mama," katanya yang tinggal di Seri Kembangan, Selangor.

Mira berkata, mereka sekeluarga juga banyak menghabiskan masa makan di rumah dan suaminya akan memasak bermacam hidangan.

Mira dan Syaamil tidak pernah tinggalkan ibu sendirian.

Bercerita lanjut mengenai video tular itu, Mira memberitahu suaminya tidak tahu rakaman tersebut telah dikongsi di TikTok dan tular.

Menurut Mira, Syaamil tidak menyangka video itu mendapat perhatian ramai sehingga ada yang menjadikannya sebagai inspirasi untuk berbakti kepada ibu bapa.

"Waktu dia angkat mama tu dia tak tahu Mira rakam. Malam lepas pergi hospital tu Mira edit dan muat naik di TikTok.

"Keesokan hari Mira beritahu yang video tu viral tapi sebab dia tak tahu, dia hairan kenapa tiba-tiba viral. Lepas dapat tahu dia terkejut sebab ramai lelaki komen ucap terima kasih sebab sedarkan mereka supaya menjaga kedua orang tua dengan baik," katanya.

Mira turut berpesan kepada individu di luar sana untuk sentiasa menjadi anak yang baik dan memohon doa serta keberkatan daripada ibu bapa untuk kesenangan hidup termasuk dikurniakan pasangan yang baik.

Kasih sayang yang diberikan Syaamil kepada mentuanya sama seperti ibu kandung.

Tambah Mira, dia tidak pernah menyesal dengan keputusan berhenti kerja hanya untuk menjaga ibu kerana dia percaya bahawa rezeki yang diberikan Allah itu sentiasa ada di mana sahaja.

"Biarlah apa orang cakap tapi jangan pernah tinggalkan mak seorang diri. Mira tak kisah pun kalau kena jaga mama sebab Mira tahu reda daripada mama itu sangat penting untuk terus berjaya.

"Jangan terlalu kejarkan wang ringgit dan utamakan orang lain selain ibu bapa sampaikan ibu bapa terabai," katanya.

Video yang dimuat naik di TikTok itu meraih lebih 770,000 tontonan dan lebih 70,000 tanda suka.

Ada netizen yang terharu dan memuji cara Syaamil berbakti kepada mentuanya.

"Saya menangis sebab awak terlalu beruntung. Bersyukurlah.

"Sebab abang ni tahu tanggungjawab dia. Mentua adalah tanggungjawab dia seperti mana tanggungjawabnya untuk ibu dah ayah dia," demikian antara komen netizen.

Mira bersyukur dikurniakan suami yang sangat bertanggungjawab.

Dalam pada itu, ada juga netizen yang berharap mereka juga akan dikurniakan pasangan yang baik dan bersama-sama membalas jasa kedua orang tua.

"Wanita di luar sana. Jangan selalu doa dapat mentua baik. Tetapi carilah calon suami yang boleh membuat kebaikan pada ibu dan ayahmu. Agar kamu berdua dapat menjaga mereka dengan baik.

"Alhamdulillah semoga dipermudahkan. Baik budi dapat insan yang sudi menjaga mak ayah kita macam nyawa dia sendiri.

"Doakan saya dipertemukan lelaki seperti suami awak juga. Amin," luah netizen.

Menurut laporan myhealth.gov.my, strok atau angin ahmar merupakan satu keadaan di mana berlakunya penyempitan salur darah ke bahagian otak atau salur darah pecah yang mengakibatkan fungsi otak akan mati disebabkan kerosakan tisu otak.

Antara gejala penyakit strok atau angin ahmar adalah seperti pengsan, tidak sedarkan diri dan lemah sebahagian anggota serta penyakit ini juga boleh mengakibatkan kecacatan kekal pada seseorang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain