suria

Berakhir sudah derita kanser, wanita setia di sisi sahabat hingga nafas terakhir - “Kak Long ucap I love you untuk Kay”

Allahyarham Kak Long menghembuskan nafas terakhir pada pagi Khamis.

PERJUANGAN seorang wanita dalam menjaga sahabatnya yang menderita kanser dinding rahim tahap 4 berakhir apabila Wan Marziah Mohamed Rejab, 40, kembali ke Rahmatullah.

Menurut Kay Rashid, 30, Wan Marziah atau lebih dikenali sebagai Kak Long menghembuskan nafas terakhir jam 9.30 pagi Khamis di kediaman keluarganya di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor.

"Kak Long dah meninggal lebih kurang 9.30 pagi tadi (Khamis). Dah dua hari dia tenat, jadi saya memang bermalam di rumah keluarga dia sepanjang keadaan dia macam ni.

"Keadaan dia tak okay dah dua minggu. Tapi yang betul-betul teruk dah dua hari.

"Selama dua minggu ni memang saya selalu datang ziarah dan teman dia. Memang saya tak pernah tinggalkan dia sebab tengok keadaan dia pun dah tenat," katanya ketika dihubungi mStar.

Kay setia menemani Kak Long hingga akhir hayatnya.

Walaupun sudah tidak tinggal bersama sahabatnya itu sejak Disember 2022, Kay tidak pernah berhenti bertanya khabar dan sentiasa datang menziarahi Kak Long yang dikenalinya sejak empat tahun lalu.

Sebelum pergi, Kak Long turut meninggalkan pesan kepada Kay yang sentiasa ada ketika susah senangnya dan setia menjaga dirinya hingga ke akhir hayat.

"Sejujurnya dari dalam hati, Kay tak kuat untuk terima. Tapi Kay pegang pesanan dia supaya Kay terus kuat bila dia pergi nanti sebab waktu dia ada, segala suka duka Kay dia akan dengar. Tapi sekarang bila dia dah tak ada, Kay perlu kuat untuk diri sendiri.

"Kak Long beritahu dia sayangkan Kay sebab banyak susah senang bersama. Banyak benda yang kami lalui bersama sepanjang perkenalan empat tahun ini. Kak Long ucap I love you untuk Kay," katanya, sayu.

Allahyarhamah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Surau Al-Munawwarah, Bandar Putera 2, Klang, Selangor pada Khamis sekitar 5 petang.

Untuk rekod, berita duka ini dikongsi oleh Kay menerusi video yang dimuat naik di TikTok untuk para pengikut yang sering mengikuti perkembangan kesihatan Kak Long, pada jam 11 pagi, Khamis.

Kay setia menjaga Kak Long sejak wanita itu disahkan menghidap kanser pada 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Sahabat baik pesakit kanser mula hidup baharu, tukar nama akaun TikTok - “Saya hormati keputusan keluarga Kak Long”

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit kanser tenat... sahabat nekad jaga, beri layanan terbaik hingga nafas terakhir - “Kalaulah saya boleh pinjam sakitnya”

Bercerita lanjut mengenai hubungan akrabnya dengan keluarga Kak Long, katanya, dia akan meneruskan ukhuwah yang terjalin walaupun sahabatnya itu sudah tiada.

"Hubungan Kay dengan keluarga arwah memang baik. Sebab Kay pun dah anggap keluarga arwah macam keluarga saya sendiri.

"Dulu mungkin datang rumah Kak Long sebab nak ziarah tapi lepas ni walaupun arwah dah tak ada, Kay tetap juga akan datang. Akan selalu keep in touch dengan mereka semua," katanya.

Kay dan Kak Long sering membuat live bersama-sama di TikTok

Kay juga bercerita tentang kebaikan Kak Long yang baik hati, sentiasa sopan dan lembut apabila berbicara, selain suka mengucapkan ungkapan 'maaf' dan 'terima kasih' sepanjang dia mengenali arwah.

"Sebab itulah dia disenangi ramai, baik orang sekelilingnya ataupun yang kenal di TikTok. Ramai sayang Kak Long," katanya.

Sementara itu, Kay yang bekerja sebagai jurulatih gimnasium berkata, pemergian sahabatnya itu telah memberi semangat kepadanya untuk menyertai persatuan atau pertubuhan kanser jika diberi peluang.

Tambahnya, kesedaran tentang bahayanya kanser dan juga penyakit kemurungan seperti yang sedang dialaminya perlu disebarkan kepada masyarakat.

"Kay sentiasa bersedia kalau ada yang ajak untuk sertai mana-mana persatuan terutamanya berkaitan dengan kanser dan juga penyakit kemurungan major. Kay akan kongsi dengan orang ramai supaya mereka semua tahu bahawa penyakit ini sangat bahaya.

"InsyAllah selepas pemergian arwah, Kay mungkin akan lebih fokus kepada pekerjaan Kay iaitu jurulatih gim dan akan menjadi lebih kuat," katanya.

Netizen sebak dengan berita pemergian Kak Long.

Kisah Kay yang setia menjaga Kak Long, bermula di Hospital Serdang, di rumah keluarganya dan kemudian di Institut Kanser Negara (IKN) tular di TikTok dan para pengikut mereka sering mengikuti perkembangan dua sahabat ini.

Bagaimanapun sekitar Disember tahun lalu, Kay sudah tidak lagi tinggal bersama Kak Long kerana ingin memberi peluang kepada keluarganya yang mahukan masa bersama.

Rata-rata netizen terkejut dengan berita pemergian Kak Long dan mengirimkan ucapan takziah.

"Al-Fatihah buat arwah. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

"Al-Fatihah. Sedihnya Kak Long dah tak ada.

"Semoga roh Kak Long dicucuri rahmat dari Allah SWT. Semoga beroleh syurga Firdaus buat Kak Long," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain