suria

Pesakit kanser tenat... sahabat nekad jaga, beri layanan terbaik hingga nafas terakhir - “Kalaulah saya boleh pinjam sakitnya”

Kay menjadi penjaga sepenuh masa kepada Kak Long yang kesihatannya semakin merosot saban hari.

BERTEMU dengan seorang insan tanpa pertalian darah yang sanggup mengharungi susah senang bersama merupakan satu rezeki dan anugerah yang tidak ternilai.

Tidak hairanlah wujud perumpamaan 'bagai isi dengan kuku' bagi menggambarkan satu hubungan sangat akrab yang terjalin.

Begitu juga kisah dua sahabat ini yang mempunyai hubungan rapat seperti ada pertalian darah dan terserlah pengorbanan yang tidak ada tolok bandingnya melalui ukhuwah yang terjalin.

Lebih mesra dengan panggilan Kak Long di media sosial, hubungan dia dan kawan baiknya, Kay sedikit pun tidak terjejas walaupun hari-harinya yang mendatang semakin sukar.

Akaun TikTok mereka berdua yang diberikan nama @kaklongkay menjadi platform untuk Kak Long dan Kay berkongsi kisah hidup mereka agar dapat menjadi pedoman kepada masyarakat sekeliling.

"Ramai di luar sana yang apabila diuji, mereka tak tahu apa nak buat. Kami dah lalui banyak benda bersama dan kami belajar dari situ. Pengalaman kami ini mungkin berguna kepada yanag lain." kata Kay ketika dihubungi mStar.

Kak Long menghidap kanser dinding rahim tahap 4 manakala Kay menghidap penyakit kemurungan major (MDD).

Kak Long, 40, dan Kay, 30, membuka lembaran persahabatan mereka pada 2019 ketika bertemu di sebuah gimnasium di Damansara.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kali ni mak kalah” - Ibu sihat disahkan kanser tahap 4, anak sayu dengar rayuan tak mahu teruskan kemoterapi

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sambut dia seorang diri dalam tandas” - Hari ni didiagnos kanser tahap 3, esok dapat tahu hamil... wanita akur terpaksa gugur kandungan

Ketika itu Kay bekerja sebagai jurulatih di gimnasium tersebut manakala Kak Long berada dalam bidang pengurusan korporat.

Segalanya berubah ketika pandemik Covid-19 melanda negara sehingga menyebabkan Kay dan Kak Long hilang pekerjaan.

Demi mencari sesuap nasi, mereka membuka perniagaan menjual kuih dan kek selain mencari pendapatan sampingan sebagai rider Grab dan penghantaran kurier Lalamove.

Bagaimanapun, mereka berdua dikejutkan dengan berita tak disangka-sangka apabila Kak Long jatuh sakit pada hujung tahun lalu dan dimasukkan ke hospital.

Kos rawatan Kak Long di hospital yang mencecah ribuan ringgit diakui memberikan bebanan tambahan tetapi mereka bersyukur kerana adanya subsidi hospital kerajaan dan wang simpanan.

Selain itu, Kay memaklumkan bahawa Kak Long ada menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bantuan zakat perubatan.

Kay setia di samping Kak Long menjalani rutin harian.

"Dekat hospital kerajaan ada subsidi. Untuk kos perubatan Kak Long, kami guna simpanan yang kami ada. Tetapi macam orang cakap, gunung setiap hari kalau ditarah pun boleh jadi rata. Memang agak tough waktu itu," kata Kay.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, ketika menerima rawatan di Hospital Serdang, Kak Long didiagnos dengan kanser, satu perkara yang menjadi igauan ngeri semua individu.

“Mereka hantar saya ke Institut Kanser Negara (IKN) untuk dapatkan rawatan lanjut. Tetapi selepas selesai imbasan PET, saya disapa dengan berita yang kurang senang. Mereka cadangkan saya untuk rawatan kemoterapi paliatif.

“Kemoterapi paliatif ini adalah untuk meringankan perjalanan akhir pesakit, bukan untuk menyembuhkan. Cuma untuk bagi ada kualiti hidup, kurangkan simptom sakit, boleh bergerak, boleh buat aktiviti harian. Tak adalah terbaring sahaja.

Kay (kanan) sentiasa menemani Kak Long untuk temu janji di hospital.

“Bila tengok saya punya imbasan PET, kanser saya dah merebak ke seluruh bahagian abdomen dan organ yang berdekatan. Harapan untuk sembuh adalah sangat tipis,” kata Kak Long.

Kay sebagai rakan karib sudah semestinya lebur hati apabila mendengar berita tersebut tetapi mengakui dirinya harus kuat demi memberi sokongan serta semangat kepada Kak Long.

“Terlampau pilu sebab kita tengok orang yang kita sayang, dari awal kita kenal dia sihat. Lepas itu kita tengok dia sekarang sakit, tak larat, kita tukarkan pampers dia, kita mandikan dia, kita lap badan dia.

“Hari saya dengan Kak Long tak tahu berapa lama yang tinggal, terlalu singkat. Tetapi saya akan cuba manfaatkan sebaik mungkin masa yang ada ini,” katanya sebak

Kalau Allah boleh bagi sakit Kak Long pinjam dekat Kay, dah ambil dah.

KAK LONG

Kay kini menjadi penjaga sepenuh masa kepada sahabatnya itu dan tinggal bersama di rumah keluarga Kak Long di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Keluarga Kak Long sudah menganggap Kay seperti darah daging mereka sendiri dan memberikan sepenuh sokongan kepada Kay dan Kak Long untuk menempuhi dugaan ini.

“Bila bangun pagi, saya akan buat sarapan macam susu ke... hari ini Kak Long teringin nak makan wrap, jadi saya buatkan beef wrap untuk Kak Long. Semua bahan organik sebab Kak Long sebagai pesakit kanser tak boleh makan makanan proses.

“Tengah hari saya akan masakkan air sebab Kak Long tak boleh mandi air sejuk. Saya akan teman Kak Long ke bilik air dan bantu dia mandi.

Kay adakalanya membawa Kak Long ambil udara segar di waktu petang.

“Saya akan bagi ubat untuk Kak Long. Saya dah tulis dalam buku, jadual ubat untuk Kak Long, 4 jam sekali.

“Saya juga akan bacakan dia ayat Al-Quran sebab dulu waktu Kak Long sihat selalu solat jemaah sama-sama. Sedih sangat, kalau Allah boleh bagi sakit Kak Long pinjam dekat saya, dah ambil dah,” ujar Kay.

Kay juga sering mengambil inisiatif sendiri untuk membantu menaikkan semangat Kak Long agar dia dapat melupakan sebentar nasib dirinya.

Kasih sayang di antara Kay dan Kak Long tidak ada penghujungnya.

“Selalu juga saya masak-masak dengan Kak Long. Kita tengok orang keluar makan steamboat, tetapi kita tak boleh pergi, jadi kita buat steamboat sendiri dekat dalam bilik.

“Bila siang akan ajak Kak Long tengok cerita dekat Netflix. Tengok cerita yang memotivasikan dan kelakar. Bila petang, saya akan bawa Kak Long bersiar-siar ke taman menghirup udara luar.

“Nanti nak sangat bawa Kak Long pergi Cameron Highlands jalan-jalan dan pergi mengerjakan umrah sekali sebab itu memang dah lama menjadi impian kami,” kata Kay penuh harapan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain