suria

Dua kali hamil ketika belajar, pergi final exam masa dalam pantang... tiba hari konvo dah ada dua anak - “Rancangan awal nak tunang je dulu”

Di sebalik kesukaran bergelar isteri, ibu dan pelajar dalam masa yang sama, Fasha banyak berkorban demi menggenggam segulung ijazah.

BUKAN mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, lebih-lebih lagi apabila menyandang status sebagai seorang pelajar dalam masa yang sama.

Itulah yang dilalui Fasha Rashada Saari sebelum dia akhirnya berjaya menggenggam segulung ijazah.

Perkongsian yang dimuat naik di aplikasi TikTok mengenai suka duka pengalamannya dalam merealisasikan impian bergelar seorang pendidik meraih lebih 212,000 jumah tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuba tepis kritikan kahwin muda, ada sesuatu berlaku buat rider terus rancang kejutan buat isteri... siapa sangka sampai menitis air mata!

ARTIKEL BERKAITAN: Terpikat dengan calon SPM, 2 kali cubaan nak berkenalan ditolak... lelaki ini akhirnya dapat juga nikahi ‘gadis hidang air’ - “Tak kisah, ibu pun kahwin muda”

Menurut wanita yang senang disapa sebagai Fasha ini, dia bertemu jodoh ketika berusia 22 tahun iaitu sewaktu berada di semester lima pengajian.

"Saya berkenalan dengan suami ketika sama-sama menuntut di Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi). Kiranya dia adalah senior saya waktu itu. Dia melahirkan hasrat nak jumpa kedua-dua ibu bapa saya tak lama selepas berkawan.

"Pada awalnya kami rancang nak bertunang saja dulu. Namun keluarga kedua-dua belah pihak memberi restu dan semuanya seakan-akan dipermudahkan, maka kami ambil keputusan untuk terus bernikah," ceritanya yang diijabkabulkan pada 2016.

Menurut Fasha, pada awalnya dia turut berdepan dengan dilema sewaktu mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga, lebih-lebih lagi kedua-duanya masih bergelar pelajar dan agak muda.

"Memang risau bila fikir bab belajar, bab kahwin. Tapi saya ambil ia dari sudut positif. Alhamdulillah, suami dan keluarga memang memahami jadi tak ada langsung stres pikul status pelajar dan isteri.

kahwin masa study 1

Fasha di samping dua cahaya mata dan suami yang merupakan tulang belakangnya.

"Kami dapat berita gembira di mana saya disahkan mengandung cahaya mata pertama enam bulan selepas bernikah. Saya pergi peperiksaan akhir untuk semester 6 masa dalam pantang.

"Masuk tahun 2018, saya mengandung cahaya mata kedua. Masa tu down sikit sebab saya tak jangka namun suami bagi semangat... anggap anak ini rezeki. Tapi masa ini saya struggle seorang diri sebab hubungan jarak jauh (PJJ) dengan suami.

"Memang penat terkejar-kejar final year project dengan membawa perut. Saya bersyukur kandungan tiada alahan atau masalah, kawan-kawan dan pensyarah sangat memahami. Sekali lagi ambil final exam masa dalam pantang," ujar wanita berusia 27 tahun ini.

Segala penat lelah dan pengorbanan wanita ini akhirnya berbalas apabila dia berjaya menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan pada November 2019.

ladang kambing

Suami Fasha menjalankan bisnes ternakan kambing sejak lima tahun lalu.

Lebih manis, majlis graduasinya bukan sahaja dihadiri suami malah diserikan dengan dua pengarang jantung yang masing-masing kini berusia empat dan tiga tahun.

"Bagi mereka yang sama seperti saya pasti tahu betapa struggle situasi ini. Selain kena bijak bahagikan masa antara assignment dan rumah tangga, kehadiran suami yang ringan tulang juga sangat-sangat membantu.

"Cara saya, jangan bertangguh bila buat kerja, jadi masa akan tersusun.

"Bukan mudah tapi bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa," ujarnya.

Memang risau bila fikir bab belajar, bab kahwin. Tapi saya ambil ia dari sudut positif.

FASHA RASHADA SAARI

Sekadar berkongsi pengalaman sendiri secara suka-suka, Fasha berkata dia sama sekali tidak menyangka videonya meraih perhatian ramai.

"Sebenarnya selain nak kongsi pengalaman sendiri, saya nak sampaikan mesej kepada orang di luar sana bahawa percayalah dengan rezeki dan aturan yang telah ditetapkan untuk kita.

"Saya baru je posting ke sebuah sekolah menengah di Karak, Pahang awal bulan ini, Setahun juga saya tunggu untuk posting mengajar dan agak lambat berbanding rakan lain.

az farm

AZ Farm milik suami Fasha yang terletak di Machang, Kelantan.

"Tapi saya anggap ia hikmah. Mungkin Allah mahu saya besarkan anak dulu dan bantu suami dengan bisnes ternakan kambing, AZ Farm. Sekarang pun masih PJJ dengan suami. Saya di Pahang, suami di Kelantan.

"Ramai yang komen minta tips apabila kahwin awal, dari segi kewangan, tanggungjawab dan sebagainya. Bagi saya, kena percaya dengan aturan dan rezeki Allah.

"Tapi ada juga komen, perkahwinan bukan matlamat utama mereka. Saya terbuka saja, setiap orang ada pandangan masing-masing," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain