suria

Pakai baju, seluar sendat ke majlis kahwin... bapa sado tak faham apa kaitan kurta ketat dipakainya dengan kesan putus cinta

Foto kiri menunjukkan baju kurta yang dipakai Mansur di majlis perkahwinan dikritik netizen, sementara gambar kanan memaparkan Mansur berbaju blazer.

GARA-gara berpakaian ketat di majlis perkahwinan, foto seorang pemuda bersama rakannya tular di laman sosial dan dihujani dengan kecaman.

Gambar tersebut memaparkan seorang pemuda berbadan sasa berbaju biru dan berseluar jeans warna sama serta bersongkok hitam, di sebuah dewan.

Menerusi satu posting, seorang pengguna Twitter menyifatkan pakaian yang digayakan pemuda itu sehingga menampakkan bentuk badan sebagai tidak menghormati majlis.

ARTIKEL BERKAITAN: "Baju Melayu tak ketat, model tu sado sangat!"

ARTIKEL BERKAITAN: "Kami memang nak tunjuk bahagian dalam" - Kecoh baju Melayu Hari Raya 'transparent' nampak puting, samping atas lutut

"Contohilah orang Indonesia, majlis kahwin pakai batik, pakai baju formal. Ini jijik apa pakai macam ni," menurut sebahagian ciapannya di laman Twitter.



Pemakaian Mansur di majlis perkahwinan menjadi pertikaian di laman sosial.

Pemuda berkenaan, Abu Mansur Al Mathuridi Azahari berkata, foto yang tular itu dirakamkan ketika majlis perkahwinan kakak iparnya di Kuala Terengganu, Terengganu, pada Sabtu lalu.

Lelaki berketinggian 1.7 meter itu memberitahu, baju yang dipakainya pada majlis itu adalah kurta yang bersaiz L dan jenis kain yang mudah diregang.

"Baju kurta ni saiz L dan baju ni jenis stretchable yang muat dan selesa untuk dipakai. Kalau saya pakai baju bersaiz lagi besar, bahagian bahu baju akan kelihatan 'jatuh' dan nampak labuh untuk ketinggian saya.

"Sama juga dengan seluar, kalau cari saiz yang lebih besar ikut paha, bahagian pinggang saya pula longgar. Sedangkan saiz pinggang saya 31 inci," kata lelaki berusia 30 tahun itu kepada mStar.



Mansur (kiri) dan anak perempuan (hadapan) serta isteri (kanan) bersama pasangan pengantin.

Lebih dikenali sebagai Mansur, dia turut mempersoalkan apakah sebenarnya pakaian yang dikatakan formal atau rasmi untuk dipakai ke majlis perkahwinan.

"Kebanyakan mereka yang mempunyai badan berotot akan mengalami perkara yang sama. Lagipun saya pakai baju kurta siap bersongkok pada majlis tu, bukannya kemeja-T.

"Nak formal yang macam mana yang dimaksudkan? Baju blazer saya pun terpaksa cari kain yang stretchable. Susah sebenarnya nak cari baju untuk badan berotot seperti saya.

"Memang ada baju ditempah secara custom made, tetapi yang saya pakai tu adalah kurta. Salah ke saya pakai kurta ke majlis kahwin," ujar anak kelahiran Bachok, Kelantan itu.



Mansor menceburi bidang bina badan selama 13 tahun.

Menurut atlet bina badan itu, dia turut terkejut terdapat segelintir netizen membuat pelbagai tanggapan termasuk mengatakan dirinya terkesan akibat 'putus cinta' susulan pemakaian kurta tersebut.

Mansur yang menyertai bidang bina badan selama 13 tahun menjelaskan bahawa dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata perempuan berusia setahun lima bulan.

Saya terima teguran mereka cuma tertanya-tanya adakah baju kurta yang saya pakai itu tidak formal di majlis kahwin.

ABU MANSUR AL MATHURIDI AZAHARI

"Saya pun tak faham kenapa ada orang yang sanggup buat akaun fake (palsu), semata-mata nak buat kenyataan yang tidak benar mengenai diri saya susulan posting gambar saya yang tular," ujarnya yang pernah berkhidmat sebagai pereka fesyen.

Mansur yang mula bertanding dalam bina badan pada 2013 pernah mewakili Malaysia di beberapa pertandingan antarabangsa di Thailand, China dan Indonesia, di mana dia mengungguli tempat kedua dalam kejohanan 'Powerlifting' peringkat dunia, Mr World Police 2019 di Chengdu, China.



Baju kurta yang dipakai oleh Mansur (tengah) bersama dua model berbadan sasa.

Dalam pada itu, ahli perniagaan yang mengusahakan bisnes 'kurta sado' itu tidak berkecil hati dengan mana-mana kritikan yang membina dan menerima teguran tersebut dengan baik.

"Saya terima teguran mereka cuma tertanya-tanya adakah baju kurta yang saya pakai itu tidak formal di majlis kahwin. Kritikan dan kutukan tu dah biasa saya hadapi sejak ceburi bina badan," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Gempar bayi perempuan lahir ada ekor berbulu