suria

Dah 10 tahun kahwin, anak 3 orang baru merasa ada gambar kahwin... insiden di Bagan Serai puncanya! - “Setiap kali anniversary nak buat, tapi tak mampu”

Gambar kiri menunjukkan Norlita bersama suami berbaju pengantin, sementara foto kanan bergambar bersama anak-anak. foto instagram arifflubis90

SETIAP pasangan pengantin biasanya mengabadikan gambar kenangan pada hari mereka bergelar Raja Sehari.

Sepasang suami isteri menjadi perhatian apabila foto mereka dalam persalinan baju pengantin dirakamkan bersama bukan seorang, tetapi tiga anak.

Menerusi beberapa siri video yang dikongsikan oleh seorang jurugambar di aplikasi TikTok, suami isteri itu berkongsi cerita pernah ditipu ketika baru mendirikan rumah tangga.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara 'baby bump', wanita ini dipersoal nikah ketika hamil... ada kisah sedih terpaksa dilaluinya

ARTIKEL BERKAITAN: Nampak pengantin photoshoot gambar kahwin guna telefon, jurugambar perjelas tawar khidmat percuma bukan sebab 'sedih' - "Saya pernah kena marah di Mesir"

Ibu kepada tiga cahaya mata, Norlita Chik Rus memberitahu, gambar mereka dirakamkan di Klebang, Melaka, 21 Mac lalu sempena sambutan ulang tahun perkahwinan ke-10 pada 17 Mac.



Norlita dan suami menyambut ulang tahun perkahwinan ke-10. foto instagram Arifflubis90

Namun katanya, mereka pernah ditipu oleh seorang jurugambar yang merakamkan majlis perkahwinan di sebelah pengantin perempuan di Bagan Serai, Perak, sedekad lalu.

"Selepas sebulan majlis kahwin di pihak keluarga saya, jurugambar tu bagi macam-macam alasan bila kami minta gambar. Dia kata sikit lagi gambar-gambar nak siap.

"Berbulan-bulan kami tanya. Sudahnya nombor telefon jurugambar tu dah tak dapat dihubungi. Duit servis dah bayar penuh kepada 'orang tengah' sebanyak RM1,500 dan jurugambar lari macam tu saja, sampai sekarang gambar kahwin tak dapat lagi," kata wanita berusia 36 tahun itu kepada mStar.



Keceriaan jelas kelihatan pada wajah lima beranak ini. foto instagram Arifflubis90

Susulan kejadian ditipu jurugambar itu, Norlita berkata, bertahun-tahun juga dia memasang hajat untuk merakamkan gambar bersama suami dalam persalinan baju pengantin.

Dia bagaimanapun berkata, pekerjaannya sebagai pekerja kilang dan suami mencari rezeki di kedai makan menyebabkan mereka menghadapi kekangan kewangan untuk berbuat demikian.

"Setiap tahun bila anniversary memang terfikir nak buat. Tapi sebab tak mampu, pendamkan saja hasrat tu sehinggalah sumber pendapatan kami bertambah baik.

Setiap tahun bila anniversary memang terfikir nak buat. Tapi sebab tak mampu, pendamkan saja hasrat tu.

NORLITA CHIK RUS

"Dulu saya kerja kilang, kemudian buat bisnes baju secara kecil-kecilan. Dari berniaga di pasar malam dan jualan but kereta sehinggalah ada butik sendiri.

"Bila usia perkahwinan masuk 10 tahun, saya nekad untuk buat juga sesi fotografi sebagai kenang-kenangan dengan menyewa baju pengantin dan mendapatkan khidmat jurusolek," ujar ibu kepada tiga puteri berusia sembilan, lapan dan enam tahun itu.



Antara aksi menarik yang dirakamkan. foto instagram Arifflubis90

Mengulas lanjut, Norlita yang mengusahakan butik baju wanita sejak tahun lalu berkata, dia pada mulanya menempah khidmat seorang jurugambar separuh masa untuk merakamkan foto mereka berbaju pengantin.

"Tapi jurugambar tersebut membatalkan sesi tersebut pada saat akhir atas perjanjian yang tidak mencapai persetujuan bersama. Jadi, kami mencari jurugambar lain yang kemudian mendapatkan khidmat jurugambar yang berkongsi video TikTok mengenai kami.

"Mujur dia sudi membantu untuk merealisasikan impian kami meskipun jurugambar ini juga sibuk dengan tugasan lain pada mulanya. Seawal pukul 6.30 pagi selepas Subuh kami bersiap-siap sebelum bertemu dengan jurugambar di Klebang pukul 9 pagi," tambahnya.



Impian untuk mengabadikan foto perkahwinan direalisasikan. foto instagram Arifflubis90

Menurut Norlita, keterujaannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila akhirnya dapat mengabadikan kenangan menerusi foto ‘kahwin’ yang turut disertai anak-anaknya.

"Rasa seronok sangat tak terkata, syukur Alhamdulillah. Secara tidak langsung, ia juga dapat memberikan idea kepada pasangan suami isteri lain yang sebelum ini tidak berkesempatan untuk merakamkan kenangan ketika kahwin dahulu.

"Apa salahnya mengabadikan kenangan dalam persalinan baju pengantin, tanpa mengira usia perkahwinan demi kegembiraan dan kepuasan diri bersama pasangan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain