Luka kemalangan tak dihirau, teman lelaki gigih hantar macaroon dikirim makwe walau dah hancur - “Ramai pesan jangan tinggalkan Adam”

Auny memuatnaik posting di Twitter menceritakan hatinya tersentuh dengan kesanggupan teman lelakinya menghantar macaroon walaupun ditimpa kemalangan.

“KETIKA lihat dia tiba di pintu rumah, memang saya tahan nak menangis sebab terharu sangat”

Demikian kata seorang gadis yang bercerita mengenai kejadian di sebalik insiden yang menimpa teman lelakinya, baru-baru ini.

Gadis yang dikenali sebagai Auny itu pada mulanya memuatnaik satu perkongsian di Twitter menceritakan betapa hatinya tersentuh dengan kesanggupan teman lelakinya menghantar macaroon walaupun baru ditimpa kemalangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Video dating sebagai tanda sayang... Hasil suntingan pemuda ini buat ramai terpegun 

ARTIKEL BERKAITAN: Abang askar jaga isteri berpantang bak permaisuri, layanan tip top dari anak pertama hingga keenam - “Risau juga orang cop saya queen control” 

Auny turut memuatnaik gambar macaroon yang hancur gara-gara kemalangan menimpa teman lelakinya yang ketika itu dalam perjalanan ke rumahnya.

Perkongsian tersebut menjadi tular di Twitter sehingga ia diulang kicau melebihi 8,300 kali, selain dihujani komen netizen yang mengagumi sikap pemuda itu.

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis berusia 17 tahun itu berkata sebelum insiden tersebut, dia meminta teman lelakinya yang disapa Adam, membelikan macaroon memandangkan lelaki itu berada di sebuah pasar raya di Shah Alam, Selangor.

Perkongsian Auny di Twitter mengenai insiden yang menimpa teman lelakinya baru-baru ini menjadi tular.

“Dia keluar bersama ibunya ke AEON Shah Alam pada hari tersebut, dan saya minta dia belikan macaroon.

“Selepas menghantar ibunya pulang ke rumah di Seksyen 9, dia meminjam motosikal sepupunya untuk menghantar macaroon itu kepada saya, ketika itu dah malam.

“Dipendekkan cerita, tiba-tiba saya dapat satu pesanan suara daripadanya mengatakan dia datang hantar lambat sikit sebab ada benda berlaku dan macaroon hancur.

“Saya pun terus balas dan bertanya apa yang berlaku. Dia akhirnya beritahu dia jatuh motor sebab terlanggar lubang, dia tak nampak sebab jalan gelap. Ingatkan dia main-main tapi dia hantar gambar luka-luka akibat kemalangan tersebut,” ujar Auny.

Bercerita lebih lanjut, Auny berkata dia bersyukur kerana kecederaan yang dialami teman lelakinya tidak serius, sungguhpun hatinya pada ketika itu sungguh terharu dan pada masa sama rasa bersalah.

Antara komen netizen di Twitter yang memberi respon positif terhadap perkongsian Auny.

“Mulanya dia nak beli yang baharu sebab macaroon tu hancur tapi saya kata tak perlu. Dia pun datang ke rumah saya juga di Seksyen 9 untuk hantar macaroon tu.

“Masa dia sampai dan lihat saja keadaannya, memang mahu menangis tapi saya tahan. Saya bertanya keadaanya dan dia cakap OK saja. Hanya luka-luka di tangan, kaki dan lutut,” ujarnya lagi.

Menurut Auny, dia sekadar berkongsi kisah itu di Twitter untuk meluahkan perasaan terharu dengan sikap teman lelakinya, namun tidak menyangka ia menjadi tular.

InsyaAllah, saya akan sedaya upaya jaga hubungan ini. Memang tak pernah terdetik pun untuk tinggalkan dia. Apatah lagi dia sangat berbeza berbanding lelaki yang saya kenali sebelum ini.

AUNY

“Tak sangka langsung ia blow up. Yang paling tak sangka, ramai komen positif beritahu betapa beruntungnya saya dapat teman lelaki seperti itu. Malah mereka minta saya jangan lepaskan Adam.

“InsyaAllah, saya akan sedaya upaya menjaga hubungan ini. Memang tak pernah terdetik pun untuk tinggalkan dia. Apatah lagi dia sangat berbeza daripada teman lelaki yang saya kenali sebelum ini. Selain sikapnya yang menyenangkan dan ceria, saya tertarik dengan effort dia.

“Sebelum ini dia pernah buat kad yang penuh dengan nota sentimental. Yang saya tak dapat lupakan, dia sanggup datang jauh dari politeknik di Perlis semata-mata mahu hadiri majlis graduasi di sekolah saya,” kata Auny yang sudah mengenali teman lelakinya sejak beberapa tahun lalu.

“Apa yang saya boleh katakan, jika seseorang itu benar-benar sayangkan anda, dia pasti akan sanggup buat apa sahaja untuk anda,” katanya.

Sungguhpun bercinta pada usia muda, kata Auny, ibu dan bapanya amat tegas khususnya berkaitan soal akademik apatah lagi dia baru sahaja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ibu bapa tahu dan mereka pesan, sama ada bercinta atau pun tidak, pastikan tidak abaikan pelajaran,” katanya mengakhiri bicara.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain