suria

Video dating sebagai tanda sayang... Hasil suntingan pemuda ini buat ramai terpegun

Video yang didedikasikan Radin (kiri) khas buat teman wanitanya itu mendapat respon yang sangat tidak dijangka daripada apabila ia dimuat naik di laman Twitter.

SETIAP orang mempunyai cara tersendiri untuk menghargai dan menggembirakan pasangan masing-masing.

Segelintirnya menggunakan wang ringgit untuk menunjukkan penghargaan, ada yang meluangkan masa bersama-sama, memberikan hadiah dan bermacam-macam lagi cara dalam usaha memikat hati pasangan.

Bagi lelaki ini, dia menzahirkan penghargaan kepada teman wanitanya melalui klip video yang dihasilkan ketika mereka meluangkan masa bersama-sama.

ARTIKEL BERKAITAN: “Baru masuk rekrut polis dalam diam dia curang” - Speechless! Cinta PJJ siswi diduga kerana teman lelaki belum move on 

ARTIKEL BERKAITAN: Sayang kekasih, sambil ‘dating’ awek tolong rembat 2 pasang kasut untuk pakwe - “Nombor kereta berjaya dikesan”

Dan siapa sangka, video yang didedikasikan khas buat teman wanitanya itu mendapat respons luar biasa apabila ia dimuat naik di laman sosial. Kebanyakan netizen melahirkan rasa kagum dengan hasil tangan pemuda tersebut.

Bercerita kepada mStar, empunya diri yang memuat naik video tersebut di Twitter iaitu Radin Ahmad Mujahid Radin Mohd Badruz Zaman berkata, video tersebut dihasilkan tanpa dirancang ketika mereka meluangkan masa bersama-sama selepas hampir dua bulan tidak bertemu.

“Saya bawa dia berjalan ke Melaka, niat untuk memberi kejutan kepadanya memandangkan sudah biasa bersiar-siar di Kuala Lumpur. Dalam pada itu memang dah rancang, alang-alang habiskan masa bersama-sama, boleh sambil-sambil shoot.

“Dan dalam masa yang sama juga, saya mahu kembangkan kreativiti untuk portfolio saya sendiri memandangkan saya seorang pereka video (video creator) bebas.

“Niat saya hanya untuk menunjukkan penghargaan kepada si dia, jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk,” kata pemuda ini yang hanya mahu dikenali sebagai Radin.

Video berdurasi 1:04 minit yang dimuat naik di laman Twitter itu disunting dengan menggunakan teknik ‘masking speed ramping’, dengan memasukkan footage dari lokasi-lokasi yang berlainan dan dicantumkan dalam satu frame. 

Video yang dimuat naik Radin mendapat hingga 19,000 retweet.

Ia mengundang perhatian netizen apabila ia meraih lebih 19,000 kali retweet, diulang tonton melebihi 530,000 kali di sampin dibanjiri dengan komen netizen yang melahirkan rasa kagum dengan video yang dihasilkan Radin.

Bercerita lebih lanjut, Radin berkata dia sama sekali tidak menjangka video tersebut mendapat sambutan dan perhatian daripada netizen memandangkan tujuan asalnya tidak lebih dari sekadar menghargai teman wanitanya.

Sebenarnya, masing-masing ada cara tersendiri untuk menunjukkan penghargaan kepada pasangan masing-masing. Jangan mengharapkan pasangan anda lakukan perkara yang sama seperti ini. Cuba menerima pasangan dengan cara mereka seadanya

RADIN AHMAD MUJAHID

“Saya sangat tak jangka dengan maklum balas netizen. Sebenarnya ini adalah video ketiga yang saya shoot bersama dia. Pada saya, ia seperti satu permulaan yang bagus.

“Sebenarnya, masing-masing ada cara tersendiri untuk menunjukkan penghargaan kepada pasangan masing-masing. Jangan mengharapkan pasangan anda lakukan perkara yang sama seperti ini. Cuba menerima pasangan dengan cara mereka seadanya,” kata pemuda berusia 23 tahun ini.

Apa yang lebih membuatkannya tidak sangka apabila ada di antara netizen yang menghubunginya menerusi Direct Message (DM) di Twitter dan bertanyakan mengenai teknik mengambil video dan suntingan kerana kagum dengan video yang dihasilkan itu.

Antara komen netizen yang kagum dengan hasil suntingan video Radin. 

“Sebenarnya sebelum ini saya pernah berkongsi mengenai cara-cara untuk membuat suntingan namun mungkin ada yang tak perasan. Jadi apabila dapat lebih banyak pertanyaan baru-baru ini, saya tak menolak untuk berkongsi pengalaman dan apa yang saya tahu.

“Apabila dapat respons seperti ini, ia diibaratkan seperti satu pembakar semangat untuk saya terus menghasilkan video-video lain selepas ini,” ujarnya yang sering mendapat tawaran untuk menghasilkan video kempen dan komersial.

Turut tidak terkecuali mendapat respons negatif mengenai video tersebut, Radin berkata dia enggan terpengaruh ke dalam situasi berkenaan yang hanya bertujuan untuk menjatuhkan semangat seseorang.

“Bagi mereka yang tidak senang dengan video tersebut, bagi saya mudah saja. Kalau tak suka jangan tengok dan jangan terlalu mudah menjatuhkan hukuman kepada orang lain,”ujarnya lagi.


Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
viral, dating, photoshoot, wedding

Artikel Lain