suria

Bukan derma, lelaki ini sebenarnya nak jual buah pinggang! Tiada MyKad nak mohon bantuan, “Tak kisah bayar berapa asalkan...”

Seorang bapa sambil ditemani dua anaknya, memegang plakad yang memberitahu mahu menderma buah pinggang, menjadi tular di media sosial.

WALAUPUN bahang matahari tegak di atas kepala, seorang bapa tidak berganjak dari but keretanya sambil memegang payung.

Turut ditemani dua anak kecil, lelaki itu kelihatan memegang plakad yang pasti akan membuatkan mata yang memandang sama ada terkejut ataupun sebak.

“Saya ingin derma buah pinggang darah jenis B,” menurut keterangan pada plakad yang dipegang lelaki itu, di dalam gambar yang dikongsikan di halaman Facebook Penang Kini pada Rabu dan menjadi tular.

Namun, timbul perdebatan dalam kalangan netizen mengenai tindakan lelaki itu kerana jika benar dia ingin menderma buah pinggangnya, dia boleh mendaftar sebagai pengikrar untuk menderma organ.

ARTIKEL BERKAITAN: Biar Gantung Di Dada Demi Sesuap Nasi

ARTIKEL BERKAITAN: "Dulu saya pun hidup susah, tapi Alvin 10 kali lebih daif" - Pengetua menangis lihat pondok usang pelajar

“Pelik, nak derma atau nak jual organ? Daftar je sebagai penderma organ, nanti hospital panggil jika perlu,” tulis seorang netizen di ruangan komen.

“Ini bukan caranya nak derma buah pinggang. Ini nak jual organ. Nak derma kena pergi hospital daftar. Orang ini nak guna duit???,” soal seorang wanita.

Seorang lelaki memegang plakad menunjukkan dia mahu mendermakan buah pinggangnya.

Bercakap kepada mStar, lelaki yang memegang plakad itu berkata, dia bersama dua anaknya berada di kawasan parkir di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, selepas solat Jumaat minggu lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Saiful, lelaki berusia 31 tahun itu menjelaskan ketika itu dia sebenarnya mahu menjual buah pinggangnya sendiri dan bukan untuk menderma, seperti yang tertulis pada plakad tersebut.

“Bagaimanapun, saya terpaksa guna perkataan ‘derma’ pada plakad sebab kalau saya tulis ‘jual’ nanti orang ingat saya nak jual anak atau organ anak pula. 

“Tapi sebenarnya saya nak jual buah pinggang sendiri. Bila orang datang kepada saya, barulah saya beritahu dan perjelaskan hal sebenar,” katanya.

Bagaimanapun harus dinyatakan di sini bahawa tindakan menjual organ adalah satu kesalahan dan dilarang dalam agama Islam.

Pertikaian netizen mengenai tindakan seorang lelaki mahu menderma buah pinggang.

Mengulas lanjut, Saiful mendakwa dia telah mendaftar sebagai pengikrar penderma organ sejak 2012 di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan membuat pemeriksaan kesihatan.

Berasal dari Segamat, Johor dan kini menetap bersama isteri dan anak-anaknya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Saiful berkata dia terpaksa mengubah pendirian daripada 'derma' ke 'jual', kerana tiada pilihan lain disebabkan bebanan hutang yang banyak. 

“Dua bulan lalu, saya ada hutang Ah Long sebanyak RM3,000 untuk modal bisnes jual ayam goreng di gerai dekat tempat tinggal kami. Sekarang ni, saya perlu bayar balik kat Ah Long sebanyak RM36 setiap hari.

“Untung kasar saya antara RM60 dan RM50 sehari. Selepas tolak duit bayar Ah Long, masih tak cukup nak sara keluarga, bayar bil dan sewa rumah serta komitmen lain,” katanya yang mempunyai dua anak lelaki, masing-masing berusia tiga dan dua tahun.

Saya tidak kisah berapa banyak mereka nak bayar untuk beli buah pinggang saya, asalkan ia dapat menyelesaikan masalah kewangan dan bebanan hutang saya.

SAIFUL

Malah jelasnya lagi, kereta yang digunakannya untuk berniaga  bersama isteri dan anak-anak itu adalah kepunyaan bapa mentuanya yang dipinjam sejak dua tahun lalu.

Ditanya sama ada menerima bantuan lain, Saiful mendakwa telah pergi ke Pusat Zakat Pulau Pinang bulan lalu dan diberikan bantuan kira-kira RM100.

Dia bagaimanapun terpaksa menangguhkan hasrat untuk mendapatkan bantuan seterusnya berikutan kad pengenalan (MyKad) miliknya hilang buat kali ketiga, dan tidak mampu untuk membuat gantian kerana bayaran hilang kali ketiga adalah kira-kira RM1,000.

Anak bongsu daripada enam beradik itu juga lebih rela menjual buah pinggang sendiri daripada menanggung malu untuk meminta bantuan kewangan daripada kedua-dua belah keluarganya dan mentua.

“Sejak gambar saya pegang plakad tular malam tadi (Rabu malam), ramai yang mesej saya sampai buat saya tertekan. Ada juga yang kata nak beli buah pinggang dan saya minta mereka buat pemeriksaan di hospital dahulu.

“Saya tidak kisah berapa banyak mereka nak bayar untuk beli buah pinggang saya, asalkan ia dapat menyelesaikan masalah kewangan dan bebanan hutang saya,” tambahnya.

Namun di sudut hati kecilnya, dia masih berhasrat untuk mendermakan organ tersebut menerusi saluran yang betul sekiranya mendapat bantuan kewangan.

“Tapi keadaan memaksa untuk saya menjual buah pinggang sendiri. Jika ditakdirkan saya mendapat bantuan kewangan, saya akan teruskan niat asal untuk mendermakan buah pinggang itu,” ujar Saiful.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Ah Long, organ, buah pinggang

Artikel Lain