MALAYSIA dijangka mengalami suhu sehingga 40°C pada awal tahun depan susulan fenomena Super El Nino yang diramalkan semakin kuat, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Ambun Dindang berkata, fasa El Nino yang lebih kuat dijangka memuncak antara bulan November hingga Januari 2027. Malah, ia juga dijangka menyebabkan jumlah hujan di kebanyakan kawasan dalam negara ini berkurangan.“Ini bermakna kawasan utara dan tengah Semenanjung Malaysia berpotensi mencatatkan suhu antara 39°C hingga 40°C sekiranya keadaan berterusan sehingga awal tahun depan,” katanya ketika sidang media pada Selasa.Membuat perbandingan dengan fenomena El Nino ekstrem pada 1997 hingga 1998, dia berkata pada ketika itu Asia Tenggara mengalami jerebu teruk, kekurangan bekalan air serta gangguan operasi lapangan terbang.ARTIKEL BERKAITAN: Bahang El-Nino tanda peringatan Allah mahu manusia bertaubat - “Istighfar jadi sebab turunnya hujan dan terbuka pintu rezeki”Situasi itu menyebabkan Malaysia berdepan suhu tertinggi yang pernah dicatatkan iaitu 40.1°C di Cuping, Perlis pada 9 April 1998.Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata pihaknya memperkukuhkan kesiapsiagaan operasi menjelang cuaca ekstrem yang dijangka berlaku.Pengarah Bahagian JBPM, Nordin Pauzi berkata, jabatan itu mengenal pasti 183 kawasan panas di seluruh negara yang pernah berlaku kebakaran sekurang-kurangnya lima kali dalam tempoh tiga tahun lalu.“Antara 2022 hingga Jun tahun ini, negeri paling terjejas ialah Selangor, Johor, Kedah, Perak, Sabah dan Melaka,” katanya.Dalam sidang media berasingan, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, 200 kenderaan operasi akan dikerahkan bulan ini bagi meningkatkan pemantauan serta kerja pemadaman susulan kemungkinan berlaku peningkatan insiden kebakaran.“Jabatan itu juga memperluaskan penggunaan dron untuk mengesan kebakaran, dengan dua helikopter baharu dijangka tiba antara Oktober hingga November,” katanya. -The Star