Usahawan kecil kini tidak perlu lagi bimbang untuk beralih ke sistem pengurusan yang lebih sistematik. -Gambar hiasan AI
PENDIGITALAN kini bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya menjadi keperluan bagi memastikan sesebuah perniagaan terus berdaya saing dalam era ekonomi digital.Seiring pelaksanaan sistem e-Invois diperkenalkan kerajaan pada tahun 2024, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) tampil memperkenalkan MyInvois e-POS, sebuah platform Point-of-Sale (POS) digital yang ditawarkan secara percuma khusus bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) mengurus operasi perniagaan dengan lebih cekap. Platform ini dibangunkan bagi mengurangkan beban kos pendigitalan yang sering menjadi cabaran kepada usahawan kecil, selain memudahkan mereka beralih daripada sistem manual kepada pengurusan yang lebih sistematik.MyInvois e-POS ditawarkan kepada perniagaan yang beroperasi di Malaysia dengan jualan tahunan sehingga RM5 juta. Ia sesuai digunakan oleh pelbagai jenis premis seperti kedai runcit, restoran, kafe, butik pakaian dan kedai serbaneka.Antara fungsi utama yang disediakan termasuk pengurusan jualan, perakaunan, inventori serta pelaporan kewangan. Malah, sistem tersebut turut membolehkan e-Invois dikeluarkan secara terus ketika urus niaga dijalankan.Khidmat nasihat disediakan di semua Pejabat HASiL Negeri bagi membantu usahawan. -Gambar hiasan Sekiranya pembeli tidak meminta e-Invois ketika transaksi dibuat, mereka masih boleh membuat permohonan selepas urus niaga selesai. Jika tiada sebarang permintaan diterima, sistem akan menjana e-Invois disatukan secara automatik pada tarikh yang telah ditetapkan.Menurut HASiL, pendekatan itu membolehkan peniaga memberi tumpuan kepada operasi harian tanpa perlu bimbang mengenai proses teknikal berkaitan pelaksanaan e-Invois.Pada masa sama, penggunaan MyInvois e-POS dapat mengurangkan risiko kesilapan yang sering berlaku melalui kaedah manual seperti kehilangan dokumen dan kesukaran menjejaki rekod transaksi.Rekod kewangan juga menjadi lebih tersusun, sekali gus memudahkan penyediaan laporan serta analisis prestasi perniagaan.Usahawan kecil kini tidak perlu lagi bimbang untuk beralih kepada ekonomi digital. -Gambar hiasan AIBagi menggunakan platform tersebut, peniaga hanya memerlukan peranti asas seperti telefon pintar atau tablet yang mempunyai capaian internet.Penggunaan peralatan tambahan seperti pencetak resit dan pengimbas kod bar pula mampu meningkatkan lagi kecekapan operasi perniagaan.Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai MyInvois e-POS atau mendapatkan panduan penggunaannya boleh melayari laman web rasmi HASiL di https://www.hasil.gov.my/myinvoisepos/.Selain itu, bantuan dan khidmat nasihat turut disediakan di semua Pejabat HASiL Negeri bagi memudahkan usahawan mendapatkan penerangan secara bersemuka.Dengan akses percuma serta pelbagai fungsi yang ditawarkan, MyInvois e-POS dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha PKS mempercepatkan proses pendigitalan, sekali gus membantu mereka mengurus perniagaan dengan lebih efisien dan berdaya saing dalam landskap ekonomi digital yang semakin berkembang.