Sultan Sharafuddin Idris Shah menetapkan tiada kebenaran solat Jumaat diberikan kepada surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor. -Facebook Selangor Royal Office
SULTAN SELANGOR, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memberi perkenan untuk membenarkan mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri itu mendirikan solat Jumaat.Perkara itu dimaklumkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerusi kenyataan pada Rabu.Pengerusi Mais, Datuk Salehuddin Saidin berkata, ketetapan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di negeri berkenaan.Penjelasan ini dibuat bagi menjawab cadangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, sebelum ini yang mencadangkan agar surau solat Jumaat diwujudkan di pusat beli-belah di seluruh negara. Menurut Salehuddin, di Selangor, urusan berkaitan masjid dan surau berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.Jelasnya, penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid atau surau turut tertakluk kepada kebenaran bertulis Mais mengikut Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan usaha memakmurkan masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam tidak terjejas."Jika surau atau musolla di pusat beli-belah dibenarkan mendirikan solat Jumaat, ia boleh mengurangkan kehadiran jemaah di masjid dan surau solat Jumaat sedia ada kerana umat Islam mempunyai pilihan untuk menunaikan ibadah itu di pusat beli-belah."Ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau yang diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat di Selangor. Jumlah itu mencukupi untuk menampung keperluan umat Islam di negeri ini," katanya.Beliau berkata, kebanyakan pusat beli-belah juga mempunyai masjid atau surau solat Jumaat berhampiran bagi memudahkan orang ramai menunaikan ibadah berkenaan.Menurutnya, solat Jumaat lebih sesuai didirikan di masjid dan surau yang dibina khusus sebagai tempat ibadah berbanding surau atau musolla di pusat beli-belah yang lazimnya menjadi lokasi perniagaan, hiburan dan rekreasi tanpa mengira kaum dan agama.Beliau turut menjelaskan tempoh rehat ditetapkan adalah mencukupi untuk mereka bergerak ke masjid atau surau solat Jumaat yang berhampiran bagi mendirikan solat Jumaat.Selain itu, pihak Mais juga perlu mengambil perhatian terhadap aspek pelantikan imam, bilal, petugas serta tadbir urus surau atau musolla agar menepati segala peraturan dan dasar telah ditetapkan.Katanya lagi, tanpa pelantikan oleh Mais, pemantauan terhadap pengurusan surau termasuk keseragaman bacaan khutbah Jumaat akan menjadi lebih sukar.Salehuddin menjelaskan hanya sebuah surau di pusat beli-belah di Selangor diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat ketika ini, namun kelulusan itu bersifat sementara kerana tiada masjid berhampiran."Kebenaran sementara itu akan ditarik balik sekiranya sebuah masjid dibina berhampiran pusat beli-belah berkenaan dan mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat untuk menunaikan solat Jumaat," katanya.Dalam pada itu, Mais menjelaskan ketetapan Sultan Selangor ini selaras dengan ajaran dan syiar Islam agar umat Islam memperkukuhkan fungsi dan peranan masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam selain menjadi pusat penyebaran ilmu dan dakwah.Justeru, Mais menyeru seluruh umat Islam di Negeri Selangor untuk terus mengimarahkan masjid dan surau agar institusi masjid dan surau dapat dijadikan sebagai pusat perpaduan umat Islam.