Pendekatan Shamsul Iskandar menggunakan video ‘talkin’ politik sempena PRN Johor tidak disenangi Altimet.
BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dilihat semakin membara dan hangat menjelang hari pengundian yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.Terbaharu, perhatian warga maya tertumpu kepada satu video kempen dimuat naik memaparkan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membacakan 'talkin' khas kepada pengundi di negeri itu sebagai gimik politik. Menerusi video berkenaan, Shamsul menggesa pengundi mengambil peluang meminta pelbagai bantuan daripada parti lawan termasuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), namun mengingatkan mereka agar tidak memberikan undi kepada parti-parti tersebut."Wahai pengundi-pengundi Johor, akan datang kepada kamu Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan parti-parti bersama yang lain, janganlah merasa gerun atau gentar kerana mereka makhluk Allah jua."Apabila diberi RM100, mintalah RM500. Apabila diberi kopi atau teh, mintalah Milo, susu dan beras untuk keperluan selama sebulan."Namun apabila diminta untuk mengundi mereka, jawablah dengan lidah yang fasih dan terang. Kami tetap akan undi Harapan," katanya dalam video [Tonton Video] tersebut yang dimuat naik pada Isnin malam.Gimik berani oleh bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka itu nyata mengundang pelbagai reaksi bercampur baur daripada pengguna media sosial.Ada yang menganggapnya sebagai satu pendekatan kreatif, namun tidak kurang juga yang mengecam hebat tindakan berkenaan.Antara komen yang ditinggalkan termasuk mempersoalkan tindakan menggunakan elemen sensitif seperti talkin sebagai bahan jenaka, selain menasihati barisan pemimpin untuk menunjukkan teladan yang lebih matang dan murni."Talkin pun boleh buat bahan lawak ke? Makin rasa nak undi."Buat main-main je ye. Nak jadi pemimpin tunjuk la contoh yang baik kalau nak dipilih. "Punya dahsyat marketing PRN dekat sini, sampai macam ni sekali... Semoga diberi hidayah lepas ni," komen beberapa netizen.Hantaran itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau Altimet yang menyifatkan kandungan berkenaan sebagai tidak sesuai."This ain’t it, fam (ini bukan caranya, kawan). Jangan main-mainkan hal macam ni. Mohon delete," tulisnya yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Ampang.Untuk rekod, pengundian awal PRN Johor berlangsung pada 7 Julai (Selasa), manakala hari pengundian pada 11 Julai selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 1 Jun lalu.