DUA lelaki warga Myanmar terlepas hukuman mati apabila mereka dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Seremban di Negeri Sembilan. Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama membunuh Ajith Almaraj yang berusia 22 tahun ketika kejadian di sebuah stesen minyak Metro Park Sri Sendayan, pada 2.30 pagi, 1 Julai 2020. Hakim Datuk Rohaini Ismail memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Maung Maung, 45, dan Mg Aung Aung, 33, selepas mendengar keterangan serta hujahan kedua-dua pihak. Oleh demikian mahkamah melepaskan dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil untuk membela diri. Terdahulu, mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Maung Maung diwakili peguam Datuk Hanif Hassan, manakala Mg Aung Aung diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hadi Hakimi Harun. Seramai 12 saksi dipanggil bagi perbicaraan yang berlangsung tiga bulan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube