suria

Tak matikan enjin, biar 2 anak dalam kereta sampai rempuh bazar... Suami isteri mengaku bersalah

Muhammad Firdaus Shariman di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

PASANGAN suami isteri mengaku bersalah atas pertuduhan kecuaian menjaga kanak-kanak kerana meninggalkan dua anak kecil di dalam kereta tanpa pengawasan.

Kereta tersebut, yang enjinnnya tidak dimatikan itu merempuh bazar Ramadan di Kuala Klawang, Negeri Sembilan sekitar pukul 5.30 petang pada 12 Mac.

Muhammad Firdaus Shariman, 32, dan Siti Salasiah Jumaah, 25, tidak membantah pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Rabu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibacakan sekali dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Siti Salasiah juga mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan kerana menyebabkan kecederaan parah kepada pemilik gerai yang terkena minyak panas akibat rempuhan kereta berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah sama ada secara gopoh atau cuai dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Kekecohan di bazar Ramadan selepas dirempuh kereta.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Norazihah kemudiannya memohon tarikh sebutan semula kes bagi fakta serta hukuman.

Selain menawarkan wang jaminan sebanyak RM5,000 seorang dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Muhammad Firdaus kemudiannya memohon wang jaminan dikurangkan berikutan dia dalam keadaan susah serta baru sahaja bekerja sebagai tukang kebun, manakala isterinya merupakan seorang suri rumah.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh bagi pertuduhan bersama dan tarikh sebutan semula kes pada 3 Mei ini.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, Siti Salasiah, hakim menetapkan wang jaminan sebanyak RM1,000 dan tarikh sebutan semula kes pada 2 Mei ini. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain