suria

Semakan tawaran masuk MRSM bermula esok, dasar 60 peratus pengambilan pelajar kalangan B40 kekal

Pelajar MRSM sedia ada kini berjumlah 28,087 orang pelajar setakat Februari 2021 di 53 buah MRSM.

SEMAKAN tawaran masuk ke tingkatan 1 dan 4 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) boleh dibuat bermula Rabu (10 Mac 2021).

Perkara itu diumumkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi satu kenyataan pada Selasa.

"Kemasukan ke MRSM pada tahun ini mengambil kira dua kriteria iaitu lulus Ujian Kecenderungan Kecemerlangan Kemasukan ke MRSM (UKKM) atau Ujian Khas Ulul Albab dan merit Status Sosio Ekonomi (SES) keluarga.

"Calon yang berjaya ditawarkan ke MRSM akan menerima notifikasi menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan semasa permohonan.

"Pemohon juga boleh membuat semakan menerusi portal rasmi Mara di www.mara.gov.my. Pemohon atau ibu bapa perlu mengesahkan penerimaan tawaran kemasukan menerusi pautan sistem mymrsm dalam portal Mara," ujar kenyataan itu.

Sekiranya calon tidak membuat pengesahan penerimaan tawaran dalam tempoh tujuh hari, tawaran kepada calon berkenaan dianggap terbatal.

Dalam pada itu, permohonan rayuan ke MRSM akan dibuka pada 7 April 2021 sehingga 30 Mei 2021 secara dalam talian.

Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd Dun berkata agensi itu masih mengekalkan dasar 60 peratus pengambilan pelajar dalam kalangan berpendapatan rendah atau B40.

"Keutamaan juga diberikan kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar. Bagi memastikan pelajar B40 ini dapat meneruskan pengajian di MRSM, Mara akan meneruskan program BUDI Mara.

"Pelajar terpilih akan diberi bantuan berbentuk wang tunai berjumlah RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian pakaian persekolahan, pakaian harian, keperluan asrama, peralatan persekolahan dan sebagainya," ujarnya.

Pada tahun ini, dua buah MRSM baharu juga akan dibuka iaitu MRSM ATM Bera, Pahang dan MRSM Bagan Datuk, Perak yang dijangka beroperasi pada awal Jun 2021 bagi memberi peluang pendidikan yang lebih besar kepada masyarakat.

Pelajar MRSM sedia ada kini berjumlah 28,087 orang pelajar setakat Februari 2021 di 53 buah MRSM.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain