suria

IWK bersama KASA bangunkan inisiatif air pulih guna sebagai sumber alternatif air negara

Projek air pulih guna ini dapat membantu kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri dalam usaha untuk mengurangkan beban permintaan ke atas sumber air minum bersih dan dapat menjadi alternatif terbaik kepada pengilang atau industri.

SUMBER bekalan air bersih memainkan peranan yang cukup besar dalam kehidupan seharian kita.

Tanpa sumber asas itu, ia menyebabkan berlakunya kekurangan makanan, mengancam kehidupan manusia dan sekaligus menjejaskan seluruh populasi.

Sehingga kini, dunia juga diancam dengan musim kemarau yang menjejaskan satu bilion penduduk dalam tempoh 10 tahun lalu.

Ditambah pula kehadiran pandemik Covid-19 yang belum berkesudahan serta perubahan iklim dan kesan rumah hijau, hal ini semua turut menjadi punca konflik utama dunia.

Di Malaysia misalnya, pertambahan bilangan penduduk sehingga mencatat kira-kira 32.7 juta turut menzahirkan peningkatan permintaan terhadap bekalan asas itu.

Apa yang pasti, salah satu aktiviti manusia yang tidak akan terhenti adalah pelepasan air sisa kumbahan pada setiap hari, sepanjang masa.

Sehubungan itu, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd sehingga kini telah merekodkan air sisa kumbahan yang dirawat sebanyak kira-kira 5,649 juta liter sehari daripada 7,000 loji rawatan kumbahan di bawah selenggaraannya yang telah dilepaskan semula ke perairan atau sungai.

Malah, kerajaan Malaysia telah menyatakan komitmennya di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030, untuk mengguna semula 33 peratus daripada jumlah air efluen terawat tersebut bagi tujuan yang dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, inisiatif berkenaan telah dimasukkan ke dalam hala tuju Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) ke arah Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia, dengan sasaran untuk menghasilkan 1,500 juta liter sehari air pulih guna daripada efluen terawat air kumbahan.

Hala tuju KASA adalah selaras dengan matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebagai syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, IWK telah memulakan inisiatif air pulih guna yang mana air kumbahan yang dirawat daripada Loji Rawatan Kumbahan IWK akan diguna semula selepas rawatan tambahan untuk tujuan bukan minuman.

Inisiatif ini pastinya membuka peluang kepada operator-operator air untuk mendapatkan sumber air alternatif bagi tujuan air bukan minuman yang seterusnya dapat menyumbang ke arah memelihara sumber air bersih negara dan mengurangkan tekanan kepada sumber air, sekali gus meningkatkan usaha kitaran ekonomi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, sejak 2015 pihaknya mengorak langkah memulakan projek berskala kecil penggunaan semula efluen terawat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk kegunaan siraman tanaman landskap.

Tambahnya, ada beberapa loji IWK yang menggunakan semula efluen terawat ini untuk kegunaan membersih peralatan loji dan kawasan sekitarnya.

“Dengan kerjasama KASA, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan syarikat-syarikat air, IWK kini sedang mempelopori industri pembekalan air pulih guna melalui proses yang diperbaharui, sesuai untuk kegunaan proses-proses pengilangan bagi industri bukan berasaskan makanan.

“Efluen terawat yang dihasilkan daripada rawatan air sisa akan melalui proses teknologi moden di Loji Rawatan Air Pulih Guna (LRAP) yang dibina khas berhampiran dengan loji rawatan air sisa selenggaraan IWK. Air pulih guna yang telah siap diproses akan disalurkan melalui paip khas disalurkan terus kepada kilang-kilang yang memerlukan, ” jelas Narendran kepada mStar.

Ujarnya lagi, projek air pulih guna ini dapat membantu kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri dalam usaha untuk mengurangkan beban permintaan ke atas sumber air minum bersih dan dapat menjadi alternatif terbaik kepada pengilang atau industri.

“Negara ini masih amat bergantung kepada tadahan air, sekali gus menjadikan bekalan air kita amat bergantung kepada keadaan dan perubahan cuaca.

"Jadi, saya percaya bagi memastikan bekalan air yang lebih mampan, ia amat penting bagi kita untuk mempelbagaikan portfolio bekalan air negara dengan menggabungkan sumber air selamat dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air yang diperoleh daripada hujan semata-mata," tambahnya lagi.

IWK sehingga kini telah merekodkan air sisa kumbahan yang dirawat sebanyak kira-kira 5,649 juta liter sehari daripada 7,000 loji rawatan kumbahan di bawah selenggaraannya yang telah dilepaskan semula ke perairan atau sungai.

Memetik artikel pakar air terkemuka, Profesor Elimelech dari Universiti Yale di Amerika Syarikat (AS) menerusi jurnal sainsnya, beliau berkata, satu-satunya kaedah mampan untuk meningkatkan bekalan air melebihi apa yang sedia ada daripada kitaran hidrologi adalah penyahgaraman dan penggunaan semula air.

Justeru, menurut Prof Madya Dr Lau Woei Jye dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pelbagai usaha telah dijalankan oleh beberapa negara untuk meredakan kekangan bekalan air melalui peningkatan sistem tadahan air dan pengedaran air, memperbaiki infrastruktur dan pemuliharaan air, namun langkah-langkah itu hanya cukup untuk memperbaiki kaedah penggunaan sumber air sedia ada.

Berbanding proses penyahgaraman air laut atau air payau yang memerlukan pelaburan modal dan kos operasi lebih tinggi, Prof Lau menjelaskan bahawa proses kitar semula air sisa lebih kompetitif dari segi kos dan sesuai untuk dipertimbangkan di Malaysia.

Peka dengan hal itu, Narendran berkata, IWK akan membangunkan projek LRAP melalui konsep kerjasama dengan operator-operator air di semua negeri yang akan membekalkan sistem dan teknologi untuk pembangunan loji berkenaan.

IWK juga sedang dalam peringkat perbincangan bersama satu operator air negeri dengan fasa pertama berkapasiti 7.5 juta liter sehari, dan fasa seterusnya dengan sasaran kumulatif sebanyak 247 juta liter sehari akan melibatkan pelaburan sebanyak RM600 juta.

“IWK yakin, projek LRAP bukan sahaja dapat memelihara alam sekitar melalui pengurusan sumber air secara lestari malah dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber air bersih negara yang boleh digunakan untuk tujuan minuman.

“Pada masa yang sama, projek LRAP dapat menggalakkan pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tenaga kerja berteknologi tinggi serta membuka peluang pekerjaan baru, ” tambah Narendran.

Kini kita boleh menarik nafas lega apabila inisiatif pembekalan air pulih guna mula menunjukkan minat dan sikap keterbukaan operator-operator air serta kerajaan Negeri dalam memberi tumpuan kepada usaha merancang pembekalan air kepada kumpulan sasar yang tepat.

Malah, sekiranya berlaku musim kemarau pada masa akan datang, maka diharapkan bekalan air minum juga tidak akan terjejas teruk apabila kilang-kilang industri kini telah mulai beralih kepada air pulih guna sebagai sumber air untuk operasi pengilangan mereka.

Tambahnya lagi, usaha air pulih guna sebagai sumber air alternatif negara juga masih lagi jauh untuk dicapai dan dinikmati secara holistik.

Sehubungan itu, semua pihak perlu memain peranan masing-masing dalam menjayakan kitaran ekonomi yang lebih mapan ini.

Malah, pengguna juga harus bersama menjalankan tanggungjawab melakukan konservasi serta mengurangkan pembaziran air.

Usaha kolektif dari semua pihak akan memastikan alam sekitar kita terus terpelihara demi kelangsungan hidup dan keperluan generasi akan datang

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain