suria

Calon peperiksaan awam tak akan diambil tindakan jika berambut panjang ke sekolah - Ismail Sabri

Kerajaan memberi kelonggaran kepada calon peperiksaan awam yang berambut panjang kerana memahami situasi di mana salun masih belum dibenarkan beroperasi sepanjang PKP.

MEMAHAMI situasi ketika ini di mana salun dan kedai gunting rambut belum dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan mengumumkan memberi kelonggaran kepada para pelajar yang akan kembali ke sekolah pada 20 Januari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian, Jumaat petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Buka tadika swasta di lokasi PKP, menteri jawab dilema ‘takut nak hantar anak’ - “Terserah ibu bapa buat keputusan”

"Ada soalan, macam mana nak ambil periksa kalau rambut panjang kerana peraturan sekolah kata rambut mesti pendek.

"Kementerian Pendidikan telah buat keputusan hasil perbincangan dalam sidang khas, bahawa walaupun mereka berambut panjang tetapi mereka dibenarkan ke sekolah tanpa tindakan daripada guru, kerana kedai gunting rambut masih belum dibenarkan beroperasi," katanya.

Beliau dalam pada itu turut meminta golongan yang menjalankan perniagaan dalam sektor berkenaan agar bersabar sehingga keputusan selanjutnya diumumkan kelak.

"Kali ini kita tutup dua minggu. Selepas dua minggu, Kementerian Kesihatan (KKM) akan review semula sama perlu dilonggarkan atau diketatkan. Kita akan review setiap dua minggu. Saya minta bersabar terutama bagi yang melibatkan kedai gunting rambut," katanya lagi.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin pada Selasa lalu mengumumkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam tahun 2020 dan 2021 dibenarkan meneruskan pembelajaran secara bersemuka di sekolah yang terletak di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa sidang khas pada Jumaat bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri Kelantan bermula 16 hingga 26 Januari 2021.

Ia susulan peningkatan ketara kes positif Covid-19 di mana penilaian daripada KKM turut mengesahkan 90 peratus daerah di negeri itu kini dalam zon merah dan jingga.

Perintah yang sama turut dikenakan di Sibu, Sarawak selama 14 hari bermula 16 sehingga 29 Januari, melibatkan ketiga-tiga daerah di bahagian Sibu iaitu Daerah Sibu, Daerah Selangau dan Daerah Kanowit.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain