suria

Mahu operasi kedai makan di kawasan PKP dilanjut ke pukul 10 atau 12 malam? Ini jawab Ismail Sabri!

Seorang pekerja menampal notis untuk bungkus sahaja di kedai makan sepanjang tempoh PKP. foto AZHAR MAHFOF/The Star

KERAJAAN belum bersedia untuk melanjutkan operasi kedai makan di negeri-negeri yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata, operasi kedai makan di negeri-negeri yang dilaksanakan PKP itu kekal sehingga pukul 8 malam, pada masa ini.

"Belum bersedia. PKP ni dua minggu. Dulu kita pernah tiga bulan. Jadi, patuhlah dengan apa yang disarankan oleh kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: 14 intipati PKP, PKPB dan PKPP yang perlu anda tahu

"Kalau kes Covid-19 menurun, kita tukar status dari PKP kepada PKPB (PKP Bersyarat), jadi ada kelonggaran-kelonggaran yang diberi.

"Kalau kita nak tempat kita bertukar dari PKP kepada PKPB yang ada kelonggaran... kitalah yang boleh menjadikan kawasan kita tu bertukar status dari PKP kepada PKPB, iaitu kita kena patuhlah setiap arahan dan SOP (prosedur operasi standard) yang dikeluarkan oleh kerajaan," katanya pada sidang media, petang Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan sedia mempertimbangkan permintaan peniaga yang meminta supaya operasi kedai makan di negeri-negeri yang dilaksanakan PKP, dilanjutkan sehingga pukul 10 malam atau 12 tengah malam.

Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan bahawa aktiviti jualan makanan di restoran, kedai, gerai, trak makanan dan penjaja tepi jalan di negeri yang terbabit PKP, dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 8 malam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, negeri-negeri yang dikuat kuasakan oleh PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP) boleh dikenakan PKP sekiranya peningkatan kes Covid-19 di lokasi berkenaan.

"Ia boleh naik kepada PKPB atau PKP kalau kes Covid-19 meningkat. Kalau kes menurun, mungkin kita boleh jadi PKPB pula.

"Ini tertakluk kepada kes Covid-19 yang berlaku di negeri tersebut. Sebab itu dalam tempoh dua minggu ini, kita harap ada perubahan kepada jumlah kes di sesetengah negeri," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain