suria

Tolong duduk rumah selama 14 hari, jika tidak PKP boleh jangkau maksimum 4 minggu! - “Kita tak mahu ia dilanjutkan”

Dr Noor Hisham mengulas mengenai pelaksanaan PKP di negara ini selama dua minggu bermula Rabu.

TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilaksanakan selama dua minggu atau maksimum empat minggu bagi mengurangkan kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sebelum ini bermula pada 14 Oktober lalu tidak bersesuaian berikutan kes Covid-19 di negara ini masih mencatatkan peningkatan.

"Kita rasa PKPB mungkin tak sesuai, kita kena gunakan kaedah yang lebih drastik iaitu kita menjalankan PKP untuk sama ada tempoh dua minggu atau pun perlu tempoh maksimum empat minggu.

"Kita tidak mahu PKP dilanjutkan sebab ada impak (negatif) kepada ekonomi," katanya pada sidang media, petang Rabu.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata, rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan sekiranya semua pihak mematuhi segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dalam tempoh PKP selama dua minggu ini.

"Jika semua orang boleh duduk di rumah dalam tempoh dua minggu, insyaAllah kita boleh putuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Dari dulu lagi kita katakan kalau setiap rakyat Malaysia patuh kepada SOP, kita boleh putuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam negara kita," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia dijangka dapat melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 pada Mei depan.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah dikuat kuasakan PKP selama 14 hari bermula 13 Januari sehingga 26 Januari depan, berikutan peningkatan kes Covid-19.

Sementara itu, PKP Bersyarat (PKPB) dilaksanakan ke atas enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan di Perlis dan Sarawak bagi tempoh yang sama.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain