suria

Awas! Polis adakan 39 sekatan jalan raya di KL, Putrajaya

Angota polis dan tentera mengadakan sekatan jalan raya berikutan pelaksanaan PKP bermula Rabu. -foto AZHAR MAHFOF/The Star

AWAS! Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mula melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di negeri-negeri yang dikuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Polis Kuala Lumpur melaksanakan 39 SJR di seluruh ibu kota dan Putrajaya sepanjang penguatkuasaan PKP bermula tengah malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya turut mewujudkan 37 pasukan pemantauan bertugas di enam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Dang Wangi, Cheras, Wangsa Maju, Brickfields, Sentul dan Putrajaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mereka masih di kampung dibenarkan pulang selewat-lewatnya Jumaat ini – Ismail Sabri

"Seramai 1,291 anggota yang terbabit dalam penugasan SJR dan pemantauan berkenaan.

"Bagaimanapun, jumlah SJR serta keanggotaan itu mungkin akan bertambah dari masa ke masa bergantung kepada keperluan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, Rabu.

Saiful Azly berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Kita mengambil tindakan terhadap individu yang ingkar SOP ditetapkan pihak berkuasa. Saya menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh PKP ini," katanya.

Mengulas mengenai kebenaran rentas negeri, Saiful Azly memaklumkan, orang ramai boleh membuat permohonan itu di mana-mana balai polis berhampiran mereka.

"Permohonan itu tidak semestinya dibuat di balai polis berhampiran alamat tempat mereka bermaustautin tetapi orang ramai boleh memohon di lokasi mereka berada (seperti tempat kerja)," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri selama 14 hari bermula Rabu sebagai usaha untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Enam negeri tersebut adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

PKP, sekatan jalan raya, PDRM, KL, Putrajaya, SOP, SJR,

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain