suria

Mereka masih di kampung dibenarkan pulang selewat-lewatnya Jumaat ini – Ismail Sabri

PDRM akan menjalankan sekatan jalan raya bermula tengah malam ini. -gambar hiasan foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star

INDIVIDU yang masih berada di kampung diberi kelonggaran untuk pulang ke rumah atau tempat kerja masing-masing selewat-lewatnya pada Jumaat ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), bermula tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu bagi mengelakkan mereka terperangkap di kampung ekoran sekatan jalan raya yang tidak membenarkan merentasi negeri sepanjang tempoh PKP, PKPB dan PKPP.

Setelah mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau berkata, kelonggaran juga diberikan untuk merentas negeri bagi kes-kes tertentu.

ARTIKEL BERKAITAN: Semakin sukar dikawal, kerajaan laksanakan semula PKP di 6 negeri bermula Rabu

"Mereka yang telah membeli tiket penerbangan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan. Begitu juga yang telah membeli tiket bas ekspres, boleh meneruskan perjalanan mereka.

"Kelonggaran ini hanya akan diberikan kepada mereka yang mempunyai sebab-sebab tertentu. Ada yang saya difahamkan, melawat keluarga yang sakit di hospital. Kes-kes tertentu seperti ini dibenarkan.

"Jadi, mana-mana mereka yang masih berada di kampung, yang belum pulang... saya harap pulang segera, paling lewat pun Jumaat ini untuk mereka boleh pulang ke rumah masing-masing," katanya pada sidang media, petang Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah dikuat kuasakan PKP bermula 13 Januari selama 14 hari sehingga 26 Januari depan, berikutan peningkatan kes Covid-19.

Sementara itu, PKPB dilaksanakan ke atas enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala PKPP pula akan dilaksanakan di Perlis dan Sarawak bagi tempoh yang sama.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain