suria

Kantoi! Beri alasan nak beli barang, suami isteri cuba menyusup keluar dari kawasan TEMCO guna jalan tikus ditahan polis

Kerajaan memutuskan melaksanakan PKPD secara pentadbiran di empat mukim iaitu Restoran Nasi Kandar Salleh di pekan Napoh, Kampung Pida Satu di Megat Dewa, Kampung Bendang Dalam Mukim Binjal di Kubang Pasu dan Kampung Ulu Sanai di Padang Terap yang kesemuanya terletak dalam radius satu kilometer dari restoran tersebut. Foto: Bernama

SUNGGUHPUN pihak berkuasa telah mengenakan tindakan tegas kepada individu yang melanggar perintah kuarantin sebelum ini, namun masih ada yang berdegil.

Baru-baru ini sepasang suami isteri ditahan polis selepas 'kantoi' cuba menyusup keluar dari kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) di Kampung Ulu, Padang Sanai, Kuala Nerang.

Pasangan itu sedang dalam perjalanan untuk ke pekan membeli barang tetapi berpatah balik separuh jalan, sebelum ditahan polis di rumah mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kampung di Kuala Sanglang dikenakan TEMCO mulai malam ini hingga 4 September

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar berkata pasangan berusia 50-an itu ditahan pada 5.30 petang, 5 Ogos, selepas pihaknya menerima laporan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap yang mendapati pasangan itu tiada di rumah ketika pemeriksaan dijalankan.

"Pasangan ini menanggalkan gelang merah jambu dan putih sebelum keluar menerusi laluan tikus (menggunakan) motosikal dengan alasan untuk membeli barang.

"Polis kemudiannya bertindak menahan pasangan itu di rumah selepas mereka membatalkan hasrat ke Pekan Kuala Nerang dan hanya pergi separuh jalan.

"Saya mengingatkan penduduk agar tidak keluar ke kawasan lain bagi mengelak risiko penyebaran Covid-19," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pasangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Siasatan juga mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memperuntukkan kuasa kepada pegawai memerintahkan individu untuk diasingkan di rumah dan mematuhi segala perintah yang ditetapkan.

"Jika sabit kesalahan mereka juga boleh berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Kertas siasatan kes ini sudah siap dan diserahkan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk tindakan lanjut," katanya.

Mulkiaman berkata polis telah melaksanakan empat sekatan jalan raya yang menghubungkan empat kampung di daerah itu iaitu Kampung Ulu, Kampung Kubang Palas, Kampung Seberang dan Kampung Chenderai bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia.

"Polis sudah mengenal pasti laluan tikus di Kampung Ulu dan mengenali semua penduduk kampung berkenaan yang dianggarkan 300 orang membabitkan 50 rumah, sekali gus memudahkan kawalan dilakukan," katanya.

Beliau berkata sehingga Rabu, seramai 378 individu telah disaring membabitkan 306 individu di Kampung Ulu, Padang Sanai dan 72 individu yang pernah berkunjung ke Kampung Ulu atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TEMCO, jalan tikus, polis, Kuala Nerang

Artikel Lain