suria

Covid-19: 15 kes positif direkodkan... 72 kluster tamat pemantauan, Kluster Tawar pula dikesan di Kedah

Sebanyak 15 kes baharu positif Covid-19 direkodkan pada Khamis. Foto: Bernama

SEBANYAK 15 kes positif Covid-19 direrkodkan di negara pada Khamis, menjadikan keseluruhan 9,129 kes setakat Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 183 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada 15 kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah jangkitan di luar negara yang kesemuanya melibatkan warganegara Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkini 11 kes baharu Covid-19, angka kematian kekal 125

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 11 kes penularan di dalam negara, 10 kes adalah dalam kalangan warganegara dan satu rakyat asing.

"Di negeri Kedah, terdapat sembilan kes daripada Kluster Tawar yang dikenalpasti di Mukim Tawar.

"KKM ingin memaklumkan terdapat kluster baharu yang kebanyakannya bertumpu di Mukim Tawar dikenalpasti. Kes pertama kluster ini (9,113) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia yang merupakan seorang peniaga.

"Beliau mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos. Pada 8 Ogos, beliau mengalami sakit dada serta gejala demam. Saringan dilakukan pada 9 Ogos dan beliau dikesan positif pada 11 Ogos," katanya dalam sidang media pada petang Khamis.

Dalam pada itu ujarnya, sehingga kini, 72 kluster telah tamat tempoh pengawasan dan pemantauan selama 28 hari.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes," katanya

Beliau juga berkata sebanyak empat kes yang telah pulih Covid-19 pada Khamis dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 8,821 kes.

"Sehingga kini, terdapat dua kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, Kluster Tawar

Artikel Lain