suria

Pesakit Covid-19 boleh discaj selepas 14 hari dirawat walau masih positif - “Kita akan ubah protokol”

Langkah terbaharu itu bermakna pesakit Covid-19 hanya akan dirawat di hospital selama 14 hari sahaja selepas ini.

LAPORAN terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pesakit Covid-19 yang masih positif boleh dibenarkan discaj selepas 14 hari dirawat di hospital.

Ia disebabkan tahap kebolehjangkitan mereka yang rendah selepas menjalani tempoh rawatan selama dua minggu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kekal 3 angka, 187 kes baharu dilaporkan hari ini... Pati catat jangkitan tertinggi

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, laporan terbaharu itu juga akan mengubah protokol Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menguruskan pesakit positif di Malaysia selepas ini.

"Mengikut laporan WHO, kalau mereka telah melepasi tempoh 14 hari, kebolehjangkitan mereka adalah sifar.

"Dengan maklumat terbaharu yang kita perolehi, kalau lepas 14 hari, walaupun ujian positif... kita boleh discaj pesakit tersebut.

"Ini tindakan atau maklumat baharu yang kita dapat dan kita akan mengubah protokol dalam menguruskan pesakit yang positif," ujarnya pada Selasa.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kata Dr Noor Hisham, protokol baharu itu belum lagi dimaklumkan kepada pakar-pakar di semua hospital terlibat dan akan dilakukan dengan kadar segera memandangkan ia baru sahaja diterima.

Katanya lagi, langkah terbaharu itu bermakna pesakit Covid-19 hanya akan dirawat di hospital selama 14 hari sahaja biarpun ujian pada penghujung tempoh itu menyaksikan mereka berstatus positif.

Tambah Dr Noor Hisham lagi, protokol itu berubah kerana ia adalah virus jenis baharu dan pihaknya juga masih lagi mengkaji lanjut mengenainya.

Namun, keputusan itu diambil atas kajian yang dilaksanakan WHO termasuklah Korea, Taiwan dan beberapa negara lain.

"Kalau kita lihat protokol dah berubah sebab ini virus yang baharu. Jadi kita tengah belajar juga.

"Dan selepas discaj, kita menasihatkan pesakit untuk kuarantin dua minggu di rumah," ujarnya lagi.

Sebelum ini, pesakit akan diuji pada hari ke-13 dan sekiranya keputusan masih positif, mereka akan terus dirawat di hospital.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain