suria

Ahli Lembaga Pengarah Felcra positif Covid-19, ibu pejabat henti operasi 3 hari

Wisma Felcra di Kuala Lumpur ditutup selama tiga hari bagi kerja-kerja kerja-kerja pembersihan dan sanitasi yang dibuat secara menyeluruh. Foto CHINA PRESS

SEORANG Ahli Lembaga Pengarah Felcra Berhad (Felcra) disahkan positif koronavirus (Covid-19), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazrul Izam Mansor.

Beliau memberitahu, pihaknya menerima maklumat mengenai salah seorang ahli lembaga pengarahnya dijangkiti virus itu, pagi Rabu.

“Kali terakhir beliau berada di dalam bangunan Wisma Felcra adalah pada 25 Februari 2020.  

“Buat masa ini, keadaan terkawal dan tiada simptom ditemui dalam kalangan staf,” katanya dalam satu kenyataan pada petang Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings sah positif Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: KKM: Bekas menteri, timbalan menteri disahkan negatif Covid-19

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti ahli lembaga pengarah berkenaan.

Sehubungan itu, Mohd Nazrul berkata, semua aktiviti dan operasi di ibu pejabat telah dihentikan serta-merta bermula Rabu sehingga Jumaat, bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dibuat secara menyeluruh.

“Pengurusan syarikat berusaha mengambil langkah-langkah berwaspada dalam memastikan tahap kesihatan dan persekitaran kondusif yang maksimum di Wisma Felcra.

“Semua staf ibu pejabat telah diarahkan untuk bekerja dari rumah dan untuk itu juga semua staf dinasihatkan untuk tidak ke luar daerah supaya mudah untuk dihubungi,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberitahu bahawa semua operasi di peringkat wilayah dan kawasan diteruskan seperti biasa. 

“Ibu pejabat akan sentiasa berkomunikasi dengan pihak wilayah dan kawasan supaya operasi ladang dan kilang tidak terjejas. 

“Pada masa sama, pihak syarikat telah mengenal pasti kakitangan yang mempunyai kontak rapat dengan individu berkenaan dan kesemua mereka kini sedang membuat ujian saringan kesihatan di hospital berdekatan. 

“Sehingga kini, mereka masih melakukan kuarantin sendiri sehingga pihak hospital dapat memberi keputusan bagi ujian saringan tersebut,” katanya.

Menurut Mohd Nazrul, semua kakitangan diminta bersabar dan menjaga kebersihan selain mendapat rawatan segera sekiranya terdapat sebarang simptom berkaitan jangkitan pernafasan seperti demam, batuk serta sukar bernafas. 

Felcra, koronavirus, Covid-19

Artikel Lain