suria

Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings sah positif Covid-19

UDA Holding mengesahkan Ahli Lembaga Pengarahnya disahkan positif koronavirus (Covid-19). Gambar sekadar hiasan.

AHLI Lembaga Pengarah UDA Holdings Berhad (UDA) disahkan positif koronavirus (Covid-19), selepas menjalani ujian pengesanan baru-baru ini.

Perkara itu disahkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menerusi kenyataan tersebut, UDA memaklumkan individu terbabit kini dikuarantin di sebuah hospital kerajaan selepas pengesahan kes jangkitan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengerusi, pegawai kanan syarikat besar positif Covid-19, hadir majlis bekas menteri dan pemimpin kerajaan

“Berdasarkan perkara itu, UDA dalam usaha mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengenal pasti individu yang berurusan secara dekat dengan individu terbabit. UDA turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa berhubung perkara ini,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, pengurusan UDA komited mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi penularan kes itu khususnya dalam kalangan warga kerja UDA.

“Usaha ini diambil demi mengutamakan kesihatan dan keselamatan semua kakitangan. Langkah pencegahan turut diperkemaskan di UDA termasuk di bahagian anak syarikat seperti AnCasa Hotel Kuala Lumpur (AHKL) bagi mengatasi penularan wabak ini,” menurut kenyataan itu.

Menegaskan bahawa tiada kes dilaporkan di hotel berkenaan membabitkan ‘in-house guest’ dan perniagaan berjalan seperti biasa, pihak AHKL juga mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan garis panduan KKM untuk operasi sanitasi seluruh kawasan hotel.

“Pihak UDA dan AHKL akan terus mengamalkan langkah proaktif itu dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu - BERNAMA

UDA Holdings, Covid-19

Artikel Lain