suria

Sah! Sidang Dewan Rakyat ditunda ke 18 Mei

Sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya dijadualkan pada 9 Mac ditangguhkan kepada 18 Mei.

PENANGGUHAN sidang Dewan Rakyat sehingga ke 18 Mei depan selepas menerima makluman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, sidang yang sepatutnya dijadualkan pada 9 Mac ditundakan kepada 18 Mei.

“Dimaklumkan bahawa saya telah menerima surat pemakluman yang ditandatangani perdana menteri sebagai ketua majlis, memaklumkan bahawa pihak kerajaan memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang sepatutnya bermula pada Isnin, 9 Mac 2020 ditunda kepada Isnin, 18 Mei 2020 bersamaan 25 Ramadan 1441 Hijrah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan 9 Mac, sidang Dewan Rakyat ditangguh hingga 18 Mei

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada sidang khas 2 Mac - Yang Dipertua Dewan Rakyat

Mohamad Ariff berkata, perdana menteri turut memaklumkan bahawa takwim persidangan Dewan Rakyat bagi 2020 yang baharu.

Beliau menambah, sidang Dewan Rakyat pertama bermula 18 Mei hingga 23 Jun, sidang kedua (27 Julai hingga 27 Ogos) dan sidang ketiga (28 September hingga 26 November).

“Sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat saya mendapati ketetapan tarikh-tarikh mesyuarat ini adalah selaras dengan Peraturan 11(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Justeru itu, Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat akan menyusul dengan mengeluarkan notis panggilan mesyuarat kepada semua ahli dewan,” katanya.

Sidang kali ini dijangka menjadi tumpuan, yang mana Pakatan Harapan dikhabarkan mahu mengusulkan undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mencetus krisis politik sehingga Perikatan Nasional membentuk kerajaan baharu, menggantikan Pakatan Harapan.

Artikel Lain