suria

Covid-19: Selepas China, Korea Selatan... Sarawak sekat kemasukan pelawat dari Itali, Iran

Pelancong menggunakan penutup mulut dan hidung sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan jangkitan Covid-19. Foto Bernama

SELEPAS China dan Korea Selatan, kerajaan Sarawak kini menyekat kemasukan warga asing dari Itali dan Iran bagi menangani penularan koronavirus (Covid-19).

Jawatankuasa pengurusan bencana negeri itu berkata, semua warga asing yang berkunjung ke China, Korea Selatan, Itali dan Iran sejak 14 hari lalu akan disekat kemasukan mereka.

Ia turut memberitahu bahawa rakyat Malaysia yang telah melawat ke negara-negara tersebut sejak 14 hari lalu dinasihatkan untuk tidak berkunjung ke Sarawak.

Warga Sarawak, penduduk tetap di negeri itu, termasuk pemegang pas pelajar dan kerja yang berkunjung ke negara-negara berkenaan perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

"Mereka akan dikenakan pemantauan secara rawak oleh pihak berkuasa perubatan," menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

Korea Selatan dilaporkan mempunyai lebih 5,000 kes, manakala Itali dan Iran dengan masing-masing 2,000 kes.

Jawatankuasa itu turut memberitahu bahawa pelawat dari negara-negara lain yang mempunyai kes dijangkiti Covid-19, termasuk Singapura, Indonesia dan Jepun perlu mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri di semua pintu masuk ke Sarawak.

"Tindakan tersebut diambil sebagai sebahagian daripada usaha dan langkah kerajaan untuk membendung penularan Covid-19 di Sarawak," menurut kenyataan itu.

Setakat ini, tiada jangkitan Covid-19 yang dikesan di negeri itu. - The Star

Artikel Lain