suria

Tiada sidang khas 2 Mac - Yang Dipertua Dewan Rakyat

Tiada sidang khas Dewan Rakyat di Parlimen pada 2 Mac.

PERSIDANGAN khas Dewan Rakyat yang dikatakan bakal diadakan pada 2 Mac ini bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu, tidak akan berlangsung.

Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Ariff berkata, beliau menerima Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya OK Muhyiddin jadi PM” – Tun M

"Perdana menteri interim memaklumkan bahawa pihak kerajaan telah bersetuju supaya Dewan Rakyat dipanggil bermesyuarat pada Isnin, 2 Mac 2020.

"Namun demikian, saya mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) oleh kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.

"Oleh yang demikian, saya memutuskan tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin, 2 Mac 2020," katanya.

Mohamad Ariff menjelaskan bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh beliau selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada notis yang dikeluarkan.

"Saya juga berpandangan bahawa keperluan untuk mengadakan mesyuarat khas Dewan Rakyat akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan proses pemilihan perdana menteri.

"Saya akan terus meneliti perkembangan semasa dan kenyataan seterusnya tentang notis dan tarikh mesyuarat khas akan dimaklumkan kelak," tambahnya.

Dewan Rakyat

Artikel Lain