suria

Covid-19: 14 individu disahkan positif, Malaysia catat 50 kes setakat hari ini

Malaysia catat 50 kes positif setakat ini.

PENULARAN wabak Covid-19 di Malaysia mencatatkan peningkatan drastik apabila 50 kes positif keseluruhan dicatat setakat ini.

Angka terkini melibatkan 14 kes baharu itu disahkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sidang media pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Lembaga Pengarah Felcra positif Covid-19, ibu pejabat henti operasi 3 hari

Ujarnya lagi, kesemua 14 individu itu merupakan kontak rapat dengan kes ke-26 yang dilaporkan pada Selasa.

"Sepertimana yang dimaklumkan sebelum ini, gelombang pertama jangkitan Covid-19 di Malaysia yang merangkumi 22 kes positif Covid-19 (iaitu kes pertama sehingga kes ke-22) telah sihat dan discaj.

"Setelah 11 hari tiada kes baharu dilaporkan, gelombang kedua bermula pada 27 Februari 2020. Bagi gelombang kedua sehingga 4 Mac 2020, terdapat sebanyak 28 kes positif Covid-19 (iaitu kes ke-23 sehingga kes ke-50) yang telah dilaporkan.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 50 kes," ujarnya.

Dalam pada itu kata Dr Hisham, organisasi yang dikesan kes positif tidak perlu tutup pejabat, memadai menjalankan disinfeksi sahaja.

Pada Rabu juga, seorang Ahli Lembaga Pengarah Felcra Berhad (Felcra) disahkan positif Covid-19.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazrul Izam Mansor.

Artikel Lain