suria

Majlis Presiden PH gesa semua pihak hormati budi bicara Agong

Dr Mahathir Mohamad.

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa semua pihak untuk menghormati budi bicara dan wewenang (hak dan kuasa) Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, susulan konflik politik yang sedang melanda negara ketika ini.

Dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat tergempar malam Khamis, Majlis Presiden PH berpendirian bahawa hak dan kuasa melantik seseorang Perdana Menteri terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong, seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Umum sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dijadualkan bertemu dengan Raja-Raja Melayu untuk membincang perkara ini,” menurut kenyataan itu.

Majlis Presiden juga berpendirian bahawa adalah tidak wajar untuk Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad mendahului titah Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini.

Pada Khamis, Dr Mahathir berkata persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu.

Dr Mahathir selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan forum yang tepat untuk memilih Perdana Menteri adalah di Parlimen selepas Seri Paduka mendapati tiada calon yang mempunyai majoriti ketara.

Dr Mahathir berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain