suria

Sultan Abdullah lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16

Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah berkenan memberi tabik hormat kepada Kawalan Kehormatan Utama sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Dataran Parlimen di Kuala Lumpur, Khamis. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Foto Bernama

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di Kuala Lumpur.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda berdua dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari lepas, bagi tempoh lima tahun bermula Khamis. 

Malaysia adalah sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Sultan Abdullah, 59, dan Sultan Nazrin, 62, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Johor, Kelantan (diwakili Tengku Mahkota Kelantan) dan Pahang yang diwakili Pemangku Raja serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai saksi.  

Sultan Abdullah turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. - Bernama