suria

Sultan Abdullah angkat sumpah Agong ke-16 hari ini

Kain rentang merafak sembah ucapan tahniah kepada Al-Sultan Abdullah dipasang di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan pada Rabu. Foto Bernama

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Khamis bagi tempoh lima tahun.

Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan yang akan diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) di  Balairung Seri, Istana Negara akan turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Di hadapan sultan dan raja Melayu, kerabat diraja serta dif-dif kenamaan, Sultan Abdullah akan menandatangani Surat-surat  Perisytiharan Memegang Jawatan, yang isi kandungannya dibacakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dijadual berangkat dari Istana Abdulaziz, Kuantan pada pukul 7 pagi ke ibu negara bagi menghadiri istiadat berkenaan.

Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 akan bermula di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 8.30 pagi.

Rombongan diraja kemudian akan berangkat ke Dataran Parlimen bagi acara sambutan rasmi sebelum ke Istana Negara untuk istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan.

Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan pada 6 Januari lepas. - Bernama

Artikel Lain