suria

Lakukan tugas anda tanpa gentar dengan VIP, kata Loke kepada pegawai kerajaan

Anthony Loke.

PETALING JAYA: Penjawat awam dan pegawai kerajaan yang menjalankan tugas dengan sewajarnya tidak perlu bimbang berdepan dengan golongan VIP kerana kerajaan akan mempertahankan mereka.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, pegawai dan kakitangan kerajaan mesti berani dan tegas dalam menguatkuasakan tanggungjawab mereka.

"Bila pegawai kita menjalankan tugas mereka dengan sewajarnya dan seperti yang ditetapkan, dan sekiranya mereka berdepan dengan sebarang masalah, menteri akan mempertahankan mereka.

"Mesej ini ingin saya sampaikan kepada semua pegawai dan agensi kerajaan yang berada di barisan hadapan, kerana mereka menghadapi cabaran setiap hari," katanya.

Loke melahirkan kebimbangan mengenai segelintir pegawai bimbang apabila mereka bakal berdepan dengan golongan VIP semasa dijadualkan bertugas.

"Jangan bimbang, ikuti prosedur dan peraturan, jika mereka melakukan perkara yang betul, menteri akan menyokong mereka," katanya, sambil menambah bahawa setiap orang harus mematuhi peraturan.

"Walaupun saya Menteri Pengangkutan, saya perlu mematuhi peraturan ini... tidak ada pengecualian," katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat agensi kerajaan dengan majlis pengurusan komuniti kampung Temiang di Seremban pada Ahad.

Loke dipercayai merujuk kepada insiden di mana Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. Vigneswaran didakwa melanggar protokol keselamatan semasa menggunakan laluan VIP di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Sabtu.

Vigneswaran, yang memakai baju berkolar merah, seluar panjang dan sandal, tidak berhenti dan turun ke kawasan lobi VIP sebelum menuju ke pintu berlepas.

Loke menggesa presiden MIC itu meminta maaf di atas kejadian yang berlaku, tetapi Vigneswaran sebaliknya mengadu bahawa menteri telah membangkitkan perkara tersebut sebagai 'publisiti murahan'.

Loke menyatakan terpulang kepada hak milik Vigneswaran sekiranya beliau mahu memohon maaf atau tidak.

"Terserah kepada beliau, itu adalah haknya sama ada beliau mahu memohon maaf atau tidak," katanya.

Beliau juga menasihatkan Vigneswaran supaya merendah diri dan meminta maaf kepada mereka yang terbabit dalam kejadian itu.

"Tidak apa kalau nak minta amaf. Kalau saya... saya akan minta maaf, ia tidak akan merendahkan martabat kita," katanya.

Loke berkata, pihak pengurusan lapangan terbang membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada malam Sabtu, dan akan membenarkan pihak polis memutuskan sama ada siasatan akan dijalankan.

"Saya tidak mahu memberi komen lanjut mengenai ini, dan saya tidak mencari publisiti daripada perkara ini.

"Saya tidak memerlukan publisiti, saya mengadakan sidang media setiap hari mengenai pelbagai isu dan pelbagai program yang dijalankan oleh kementerian," katanya.

Loke memberitahu terdapat kejadian seumpama itu berlaku sebelum ini, tetapi tidak ramai yang mengambil perhatian mengenainya.

Artikel Lain