suria

Seorang maut, sekurang-kurangnya tiga cedera, trak pikap rempuh pusat penjaja

SERDANG: Polis sedang memburu seorang pemandu trak pikap, dipercayai terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan seorang wanita maut dan mencederakan sekurang-kurangnya tiga yang lain dalam kejadian di sebuah pusat penjaja di Taman Equine, di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.15 malam Ahad.

"Kenderaan itu merempuh meja di kawasan terbuka di pusat penjaja di Jalan Equine 9B.

Selepas rempuhan pertama, pemandu berkenaan terus memandu dan melanggar tiga kenderaan lain.

"Setakat ini kita belum mendapat saksi yang mendapat nombor pendaftaran kenderaan tersebut," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau menambah, seorang wanita berusia 50-an meninggal dunia di tempat kejadian, manakala sekurang-kurangnya tiga yang lain mengalami kecederaan.

"Mayat mangsa dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Serdang.

"Kita sedang mengumpul rakaman CCTV dari kawasan itu untuk mengenal pasti kenderaan yang terlibat," katanya sambil menambah bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian oleh memandu yang cuai atau pemaduan berbahaya.

Ismadi menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden supaya menghubungi talian di 03-2052 9999 atauke balai polis terdekat.


Artikel Lain