suria

Pelaburan Emas Genneva: Empat Bekas Pengarah Didapati Bersalah

PUTRAJAYA: Empat bekas pengarah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn Bhd (GSB) pada Selasa didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan di sini atas 293 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan urus niaga bernilai lebih RM100 juta.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohtarudin Baki, Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan keempat-empat individu berkenaan.

Hakim Mohtarudin yang mempengerusikan panel itu berkata mahkamah sebulat suara mendapati pihak pendakwaan selaku perayu berjaya membuktikan pertuduhan yang dihadapi kesemua responden melampaui keraguan munasabah.

Kesemua responden itu ialah Ng Poh Weng, 67, Marcus Yee Yuen Seng, 65, Chin Wai Leong, 41, dan Liew Chee Wah, 63.

Dalam penghakiman ringkasnya, Mohtarudin berkata mahkamah mendapati urusniaga jual beli emas yang dijalankan oleh kesemua responden termasuk dalam takrifan perniagaan deposit.

Katanya, mahkamah mendapati penjualan emas itu hanya berbentuk penyamaran bagi mengelak daripada tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

“Mahkamah juga mendapati penjelasan dikemukakan oleh kesemua responden bahawa aktiviti urus niaga emas yang dijalankan oleh mereka bukan deposit seperti yang ditakrifkan oleh Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah, kerana ia menepati ciri-ciri pengambilan deposit,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 4 Januari depan untuk keputusan bagi hukuman selepas peguam bela yang diketuai Gooi Soon Seng memohon penangguhan untuk mitigasi kesemua responden.

Peguam itu memohon penangguhan atas alasan kesemua responden, yang mengalami masalah kesihatan perlu mengemukakan laporan kesihatan daripada pihak hospital sebelum membuat rayuan bagi mengurangkan hukuman.

Mahkamah juga membenarkan kesemua responden, masing-masing diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin sama ada dalam bentuk wang tunai atau hartanah atas nama responden sendiri, isteri atau ibu mereka.

Kesemua responden turut diperintah untuk menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah dan memberi alamat terkini tempat tinggal untuk dihubungi.

Pada 20 September 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan keempat-empat responden selepas mendapati syarikat pelaburan itu hanya menjalankan aktiviti jual beli emas secara fizikal dan tiada keterangan bahawa syarikat berkenaan mengambil deposit tanpa lesen.

Pada 16 Mei 2013, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan keempat-empat individu itu selepas mendapati keterangan pembelaan mereka berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Bhd Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di sini, antara Julai 2008 dan Jun 2009, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Keempat-empat lelaki itu juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di sini, antara November 2008 dan Julai 2009 dan didakwa mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain