suria

'Macau Scam' Johor Tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penipuan 'Macau Scam' yang berpangkalan di Johor Bahru dengan penahanan 50 orang.

Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber/Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, risikan membawa kepada enam serbuan yang dijalankan di daerah Iskandar Puteri di Johor pada Rabu.

"Kita menahan 50 orang, terdiri daripada 27 lelaki dan 16 wanita yang dipercayai dari China," katanya pada Khamis.

Mereka yang lain turut ditahan adalah lima lelaki warga Taiwan dan dua warga tempatan masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita.

Kamarudin berkata, dua warga tempatan itu dipercayai menguruskan operasi sindiket, termasuk menyewa rumah dan menggaji pemandu untuk anggota sindiket.

"Kita merampas sebuah MPV (kenderaan pelbagai guna), 46 telefon bimbit, 10 iPad, 21 komputer riba, lima modem, enam 'router' termasuk dokumen perjalanan dan skrip untuk menjalankan penipuan," katanya.

Beliau menambah, kesemua ditahan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Kamaruddin berkata, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Artikel Berikut

Artikel Lain