suria

Lawatan Raja Salman Lenyapkan Tuduhan Palsu Malaysia Negara Gagal - Najib

KUALA LUMPUR: Lawatan negara Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini melenyapkan tuduhan palsu pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa Malaysia kononnya negara gagal, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata lawatan yang mempunyai kepentingan dari pelbagai sudut itu, nyata membuktikan maklumat salah mengenai Malaysia yang disampaikan kepada kerajaan Arab Saudi, adalah tidak berasas. 

Katanya lawatan Raja Salman amat signifikan dari pelbagai sudut, iaitu ia merupakan pengiktirafan terhadap Malaysia yang terpilih sebagai negara pertama (di Asia Tenggara) yang baginda lawati.

"Kalau ada pihak yang menidakkan kononnya kita negara gagal, ekonomi tak stabil yang menyebabkan maklumat-maklumat salah disampaikan kepada pihak Arab Saudi terutama Aramco (Saudi Arabian Oil Company), kononnya KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) bankrap, tak ada duit nak bayar gaji penjawat awam.

"Bila Raja Salman melawat Malaysia, lenyap segala tuduhan palsu yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab itu ," katanya pada sesi pertanyaan menteri, dalam persidangan Dewan Rakyat, Khamis.

Najib menjawab soalan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang ingin tahu impak dan kepentingan lawatan Raja Arab Saudi itu ke Malaysia, baru-baru ini.

Menurut beliau, semasa lawatan itu sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara pihak swasta Malaysia dan Arab Saudi telah dimeterai, melibatkan potensi perdagangan dan pelaburan merentas sempadan yang bernilai RM9.75 bilion.

"Perjanjian antara syarikat Malaysia dan Arab Saudi tersebut membabitkan pelbagai sektor seperti tenaga, kesihatan, pembinaan, pendidikan, industri kecil dan sederhana juga industri halal," katanya. 

Najib menegaskan bahawa kemuncak lawatan itu adalah pelaburan ekuiti yang membabitkan syarikat minyak kedua-dua buah negara iaitu Petronas dan Saudi Aramco bagi penyertaan Aramco dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (Rapid). 

"Nilai pelaburan tersebut membabitkan RM31 bilion yang merupakan pelaburan terbesar pernah dibuat oleh sebuah syarikat Arab Saudi di Malaysia," katanya.



Raja Salman, Najib, Dewan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain