suria

Anggota JPJ Mati Ditetak Di Pontian

Jaiman meninggal dunia di hadapan rumahnya dengan kesan tetakan dan tikaman pada Jumaat.

JOHOR BARU: Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah Pontian ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan dan tikaman dipercayai diserang beberapa individu di rumah sewanya di Kampung Parit Pak Intan, Parit Sikom, Pontian.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supt Zakaria Abdul Rahman berkata mangsa dikenali sebagai Jaiman Sapar, 53.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 12.38 tengah hari tadi.

Katanya, ketika kejadian, mangsa baru pulang ke rumah selepas melawat adiknya, Siti Pujinah, 51.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah, mangsa dipercayai telah ditetak oleh beberapa individu dengan parang," katanya ketika dihubungi di sini.

Zakaria berkata mangsa sempat menghubungi adiknya yang tinggal kira-kira tiga kilometer daripada rumahnya.

"Mangsa kemudian ditemui adiknya berlumuran darah dan terbaring di kawasan semak samun di hadapan rumahnya," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan awal polis mendapati rumah Jaiman dipecah masuk dipercayai ketika mangsa tiada di rumah.

"Terdapat kesan umpilan pada pintu belakang rumah dan televisyen LCD milik mangsa hilang dipercayai telah dicuri," katanya.

Katanya, mangsa yang cedera di leher dan bahu serta ditikam di perut dibawa ke Hospital Pontian, namun disahkan telah meninggal dunia.

JPJ

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain