suria

Kanak-Kanak Tanpa Sijil Lahir Berhak Dapat Peluang Belajar

Ahmad Bashah memujuk seorang murid tahun satu yang menangis di bawah meja ketika mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan Mergong Isnin lalu. Foto: Bernama

SIK: Semua kanak-kanak di negeri ini berhak mendapat pendidikan sekolah rendah walaupun tidak memiliki sijil kelahiran, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata perkara itu sudah diputuskan oleh Kementerian Pendidikan dan arahan sudahpun dikeluarkan.

"Kita faham ada kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil kelahiran atasbeberapa sebab, namun ada borang khusus yang perlu diisi oleh waris," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Peserta Felcra Pulau Belantek dan Bandar Beris Jaya, Rabu.

Beliau diminta mengulas kes seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahundi Changlun yang tidak dapat mendaftar di sekolah semasa sesi persekolahan 2017 bermula Ahad lepas kerana tidak memiliki sijil kelahiran.

Ahmad Bashah tidak menolak kemungkinan ada pejabat pendidikan daerah di negeri itu yang tidak menerima arahan Kementerian Pendidikan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata program pemutihan di Flat Paya Nahu yang dikenali sebagai kawasan kerap berlaku jenayah sudah bermula selepas program itu diumumkan pada 26 November lalu.

"Kita juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik yang menyewakan unitnya kepada individu lain tanpa alasan kukuh iaitu menarik balik pemberian rumah di Flat Paya Nahu dan flat lain yang berada di bawah pengurusan kerajaan negeri.

"Kita juga sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mendapatkan peruntukan bagi mengecat semula bangunan terbabit," katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Ahmad Bashah menyerahkan Surat Hak Milik kepada 351 peserta Felcra di Bandar Beris Jaya dan Pulau Belantek. -Bernama

Artikel Lain