suria

Mahkamah Benar Nurul Izzah Cabar Persempadanan Semula

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Selasa membenarkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan 10 pengundi kawasan itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Kuala Lumpur oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu selepas menolak bantahan awal dikemukakan Jabatan Peguam Negara mewakili SPR, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebagai responden.

Dalam penghakimannya beliau berkata, mahkamah berpuas hati bahawa permohonan itu tidak bersifat remeh dan kesemua pemohon adalah pihak yang mempunyai kepentingan untuk mengemukakan kes mereka.

Katanya, mahkamah bersetuju bahawa terdapat persoalan dan isu yang boleh dihujahkan dalam permohonan itu dan jika terdapat sebarang kecacatan ketika proses membuat keputusan dalam prosiding inkuiri cadangan persempadanan semula, ia boleh disemak di mahkamah.

Ketiga-tiga responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh, Suzana Atan, Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad.

Azizul Azmi turut membenarkan permohonan peguam A.Surendra yang mewakili kesemua pemohon untuk menangguhkan prosiding inkuiri cadangan persempadanan semula di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu sehingga permohonan semakan kehakiman itu yang akan didengar pada 15 Februari ini diputuskan oleh mahkamah.

Nurul Izzah, 36, dan 10 pengundi berdaftar di kawasan itu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman tersebut pada 11 November lepas.

Dalam permohonan itu, mereka menuntut satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan SPR dalam notis bertarikh 15 September 2016 berhubung cadangan persempadanan semula bahagian-bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain