suria

Penganggur Hadapi Tuduhan Bunuh Tiga Sekeluarga

Luqman Hadi dihadapkan di Mahkamah Majistret pada Rabu atas lima tuduhan membunuh dan mencederakan keluarga angkatnya, 25 Ogos lalu. - fotoBERNAMA

MELAKA: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Rabu atas tiga pertuduhan membunuh tiga sekeluarga, bulan lepas.

Luqman Hadi Mustapa, 27, mengaku faham pertuduhan tersebut apabila  pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norina Maludin, tetapi tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Luqman Hadi didakwa membunuh Hassan A. Wahab, 70; Mariah Baharim, 60 dan Muhammad Taufeq Hassan, 21 di rumah No 460-1, Jalan Sidang Said, KM7.2 Bertam Malim di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 5.50 pagi hingga 6.15 pagi, 25 Ogos lepas dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati sekiranya sabit kesalahan.

Dalam mahkamah sama, tertuduh juga menghadapi pertuduhan masing-masing dengan niat menetak Noor Haslinda Diyana Hassan, 25 dan Nur Aqedah Aeina Hassan, 24 dengan parang panjang yang boleh menyebabkan kematian di alamat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu Luqman Hadi didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara selama 20 tahun.

Norina kemudian menetapkan 7 Oktober depan bagi sebutan semula kes untuk laporan kimia dan bedah siasat.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Chee Thim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

penganggur, kes bunuh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain