suria

Ops Ponteng Tahan 19 Pelajar Sekolah

Mat Jaafar berkata sesuatu dengan lima pelajar yang didapati ponteng di Kampar.

KAMPAR: Seramai 19 pelajar lelaki daripada beberapa sekolah menengah sekitar daerah Kampar ditahan dalam Ops Ponteng yang dilaksanakan Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan di sini Rabu.

Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Selatan Mat Jaafar Mat Zain berkata pelajar berkenaan ditahan di beberapa premis kafe siber sekitar kawasan Malim Nawar, Gopeng dan Kampar dalam operasi yang bermula pada 11 pagi Rabu.

Katanya operasi yang bertujuan membantu sekolah meningkatkan prestasi kehadiran turut disertai anggota polis, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta Majlis Daerah Kampar.

"Kesemua pelajar berusia antara 13 hingga 16 tahun itu akan diberi kaunseling dan tindakan akan diambil oleh pihak sekolah masing-masing. Sebilangan pelajar sempat melarikan diri dan bersembunyi sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa," katanya.

Menurut Mat Jaafar kehadiran pelajar di daerah itu berkurang sejak kebelakangan ini iaitu di bawah 90 peratus dan ia tidak mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Katanya gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar perlu dilihat secara serius dan ia memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa untuk ditangani dengan berkesan.

"Kita tidak mahu masalah disiplin pelajar yang gemar ponteng sekolah serta ada yang melakukan aktiviti tidak sihat seperti terlibat dalam penyalahgunaan dadah berterusan.

"Antara alasan yang diberikan pelajar yang ditahan ialah mengikut rakan sekolah untuk mempelajari komputer dan ada yang mendakwa diberi kebenaran oleh ibu bapa untuk tidak hadir ke sekolah," katanya. - BERNAMA

Ops Ponteng, Kampar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain