suria

Kabinet Setuju Cadangan Pindaan Undang-Undang Keluarga Akta 164

PUTRAJAYA: Kabinet bersetuju supaya cadangan pindaan ke atas Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) diselaraskan dengan segera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika membuat pengumuman yang menyentuh perihal kebajikan wanita dan anak-anak semasa merasmikan Sambutan Hari Wanita 2016 di sini pada Khamisi, beliau berkata pindaan akta itu dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, menerusi Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berkata Akta 164 yang merupakan undang-undang keluarga bagi perkahwinan dan perceraian pasangan bukan Islam akan dipinda berpandukan kepada tiga prinsip utama.

Yang pertama, katanya, sebarang isu berbangkit berkenaan perceraian  bagi perkahwinan yang didaftarkan secara sivil, perlulah diselesaikan di Mahkamah Sivil terlebih dahulu.

"Ini bagi memastikan tuntutan-tuntutan seperti hak jagaan dan nafkah anak-anak hingga ke peringkat pendidikan tertinggi adalah terpelihara dan terjamin," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata prinsip kedua perlu berpaksikan kepada prinsip keadilan sejagat, iaitu pindaan akta tersebut akan memberikan peluang kepada pasangan untuk menyelesaikan isu perkahwinan sivil di Mahkamah Sivil.

"Ia (melalui prinsip ini) membolehkan mereka meneruskan kehidupan masing-masing seperti untuk berkahwin lain," jelasnya.

Menyentuh prinsip ketiga pula, Najib berkata percanggahan yang berlaku antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah berbangkit daripada pemelukan agama Islam oleh salah seorang pasangan dapat diselesaikan dan seterusnya kelompangan perundangan dan pertindahan peruntukan undang-undang sedia ada dapat diselesaikan.

Kesal dengan peningkatan kes jenayah ke atas kanak-kanak, perdana menteriturut mengumumkan penubuhan satu pasukan petugas untuk mengkaji dan meneliti isu berkaitan jenayah seks terutama jenayah rogol membabitkan kanak-kanak.

Najib berkata pasukan petugas tersebut akan dipengerusikan oleh menteri dijabatan perdana menteri dan dianggotai oleh pihak-pihak yang berkenaan.

"Saya teramat kesal, sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan masalah gejala sosial yang melibatkan penganiayaan dan perkosaan kanak-kanak. 

"Seumpamanya, baru-baru ini, terdapat kes membabitkan seorang warga negaraasing yang telahpun dijatuhkan hukuman akibat bersalah mencabul dan membuat serangan seks terhadap kanak-kanak, termasuklah daripada Malaysia," katanya.

Turut hadir pada sambutan Hari Wanita 2016 bertemakan "Sepadu Usaha: TiadaWanita Ketinggalan" ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain