suria

Kanak-Kanak Tiga Tahun Alami Difteria - KP Kesihatan

Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR: Satu kes difteria melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak itu tidak pernah mendapat imunisasi difteria kerana keluarganya mengamalkan kaedah rawatan homeopati.

"Kanak-kanak ini mula mengalami demam, batuk dan muntah sejak 13 Ogos lalu. Pesakit dibawa ke Hospital Sungai Buloh pada Khamis lepas (18 Ogos) kerana sesak nafas dan terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk rawatan dan pengawasan rapi. 

"Ujian kultur swab tekak pesakit ini didapati positif bakteria Corynebacterium difteria. Pesakit telah menerima rawatan antitoksin dan kini masih diberi rawatan antibiotik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata setakat ini, kesemua 14 kontak terdekat kanak-kanak itu berada dalam keadaan sihat termasuk tiga daripada mereka tinggal serumah dengan pesakit dan 11 lagi di rumah pengasuh, namun status imunisasi kesemua kontak adalah tidak lengkap dan pemantauan ke atas mereka masih diteruskan.

Noor Hisham berkata, bilangan kes disahkan difteria di Malaysia setakat ini, meningkat kepada 27 kes termasuk lima kematian iaitu sembilan kes di Kedah dengan satu kematian, tujuh kes di Negeri Sembilan, lima kes di Sabah dengan tiga kematian, tiga kes di Melaka dengan satu kematian, dua kes di Pulau Pinang dan satu kes terbaru di Selangor.

Beliau menegaskan bahawa istilah vaksin homeopati tidak diiktiraf oleh badan-badan homeopati antarabangsa termasuklah Majlis Perubatan Homeopati Malaysia.

"Malah, badan-badan ini menyokong pemberian vaksin konvensional sebagai satu cara yang berkesan dan selamat bagi melindungi daripada penyakit cegahan vaksin dan komplikasinya. 

"Vaksin sedia ada telah terbukti keberkesanan dan keselamatannya melalui kajian saintifik berskala besar sebelum ia digunakan ke atas manusia," katanya. 

Justeru, beliau menyeru agar ibu bapa memastikan anak-anak mereka di bawah umur tujuh tahun diberikan imunisasi. 

Pastikan mereka mendapat imunisasi lengkap untuk keberkesanan optima bagi mengelak jangkitan penyakit cegahan vaksin dan komplikasinya, kata beliau. - Bernama

Difteria

Artikel Lain